Rumah sewa 21 pintu antara musnah dalam kebakaran di Tawau

Foto BBP Tawau

TAWAU, 18 September – Sebuah rumah sewa 21 pintu, dua rumah separuh kekal dan empat lot kedai musnah dalam kebakaran di Kampung Titingan, Tawau, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Panggilan NG999 diterima 5.03 pagi; BBP tiba 5.09 pagi; kebakaran dikawal 5.59 pagi; operasi tamat 8.26 pagi.
  • Operasi pemadaman melibatkan dua aliran dengan empat pancutan; Bomba Komuniti Titingan bantu satu aliran 500 kaki dua pancutan.
  • 210 rumah berhampiran diselamatkan; tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan; punca dan kerugian masih disiasat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada pukul 5.03 pagi.

Pasukan BBP Tawau tiba di lokasi pada pukul 5.09 pagi.

“Kebakaran membabitkan rumah sewa 21 pintu berkeluasan 228×345 kaki persegi serta dua rumah jenis separuh kekal berkeluasan keseluruhan 146×252 kaki persegi, yang masing-masing terbakar 100 peratus.

“Turut musnah empat lot kedai jenis separuh kekal, membabitkan dua lot berkeluasan 20×20 kaki dan dua lot lagi berkeluasan 10×15 kaki.

“Operasi pemadaman melibatkan dua aliran dengan empat pancutan, manakala Bomba Komuniti Titingan turut membantu menggunakan satu aliran sepanjang 500 kaki dengan dua pancutan,” katanya menerusi kenyataan.

Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 5.59 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada 8.26 pagi selepas pemeriksaan mendapati tiada lagi bahaya di lokasi.

Pasukan bomba turut berjaya menyelamatkan 210 rumah berhampiran daripada terjejas kebakaran.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.