
SEREMBAN, 17 September – Lebih 100 isi rumah di perkampungan Orang Asli Lumut, kini menikmati capaian internet yang lebih baik menerusi pemasangan pemancar di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
- Kemudahan meliputi sehingga 1.5 kilometer, memudahkan akses internet untuk tujuan pembelajaran.
- Operasi dimulakan sejak April dan lawatan rasmi dijalankan untuk memastikan tiada gangguan perkhidmatan.
- Matlamat mengurangkan jurang digital antara kawasan luar bandar dan bandar.
- Negeri mensasarkan pemasangan 26 menara JENDELA menjelang tahun depan; 14 menara telah mula beroperasi.
Exco Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan, Datuk Mohd Asna Amin berkata, kemudahan itu mampu meliputi kawasan sehingga 1.5 kilometer, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk, khususnya pelajar untuk mendapatkan akses internet bagi tujuan pembelajaran.
“Daripada bulan empat dah buat operasi. Ini secara rasmi kita datang untuk lihat supaya tidak ada gangguan.
“Untuk anak-anak kat sini, ibu bapa semua, akses internet ini adalah salah satu program JENDELA.
“Kita nak mengurangkan jurang digital di antara orang kampung dengan bandar,” katanya ketika ditemui RTM semasa meninjau infrastruktur JENDELA di Kampung Orang Asli Lumut, di sini.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Sembilan turut menyasarkan peluasan capaian internet ke kampung lain di seluruh negeri.
Sebanyak 26 menara JENDELA disasar siap dipasang menjelang tahun depan.
Setakat ini, 14 menara telah mula beroperasi, termasuk dua menara di perkampungan Orang Asli.
Usaha itu diharap dapat memastikan manfaat kemudahan digital dapat dinikmati masyarakat luar bandar secara lebih menyeluruh.