
SUNGAI SIPUT, 17 September – Pendekatan turun padang lebih berkesan dalam memastikan anak-anak Orang Asli, termasuk mereka yang berada di kawasan pedalaman, tidak terpinggir daripada peluang melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.
- Program Kembara Bersasar 2026 di Perak sasar Pos Yum dan OAOSC Bawong untuk memperluas akses pendidikan Orang Asli.
- Serahan simbolik surat tawaran Diploma Perguruan UPSI kepada 25 Orang Asli menunjukkan peluang pendidikan tinggi dibawa terus ke komuniti.
- Program inklusif menyediakan bimbingan UPUOnline, pengiraan merit, TVET, kursus praktikal, khidmat kaunseling bergerak dan aktiviti komuniti.
Untuk itu Program Kembara Bersasar 2026, diteruskan di Perak dengan menyasarkan penduduk di Pos Yum dan Orang Asli One Stop Centre (OAOSC) Bawong, disini.
Menurut Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah, program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu menfokuskan masyarakat Orang Asli sebagai kumpulan sasaran keempat bagi memperluas akses dan maklumat pendidikan tinggi secara terus kepada komuniti akar umbi.
Jelasnya, pelaksanaan program tersebut membuktikan bahawa faktor lokasi bukan penghalang untuk mendapatkan akses kepada maklumat dan peluang pendidikan tinggi.
“Walau di mana jua anak-anak kita berada, sama ada di pusat bandar mahupun di pedalaman, akses dan ruang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sentiasa terbuka luas,” jelas Datuk Khairudin.
Beliau berkata demikian, ketika berucap merasmikan Program Kembara Bersasar Orang Asli 2026/2027 (Mai Hik ke Menara Gading) di Dewan Pandak Hamid, OAOSC Bawong.
Pada majlis yang sama, turut diadakan penyampaian secara simbolik surat tawaran pengajian Diploma Perguruan di UPSI kepada 25 orang asli yang terpilih, antara manifestasi peluang pendidikan tinggi yang dibawakan menerusi program berkenaan.
Program Kembara Bersasar 2026 dijayakan bersama-sama Kerajaan Negeri Perak, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, Yayasan Sultan Azlan Shah (YSAS) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Antara aktiviti dianjurkan termasuk bimbingan permohonan UPUOnline, pengiraan merit, penentuan hala tuju pengajian serta khidmat Counselor on Wheels, bagi membantu pelajar mengenal pasti bidang yang sesuai dengan potensi masing-masing.
Turut diberi penekanan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kursus pendek keusahawanan serta pengajian profesional.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof. Dr. Raja Nor Safinas Raja Harun berkata penganjuran di Perak merupakan lokasi keempat dalam siri
Jelajah Program Kembara Bersasar 2026.
Jelasnya, Program Kembara Bersasar 2026, khususnya di Perak dilaksanakan secara inklusif dan menyeluruh dengan pengisian merangkumi bimbingan pendidikan tinggi, pembangunan kemahiran dan TVET, kebajikan serta khidmat kemasyarakatan, selain aktiviti komuniti dan warisan kebudayaan.
Program yang berlangsung selama dua hari itu turut menyediakan kursus pendek praktikal seperti manicure dan penternakan madu kelulut, selain pameran akademik dan praktikal berasaskan TVET.
“Aktiviti komuniti turut merangkumi sukan mini dan sukaneka kanak-kanak Orang Asli, pertandingan mewarna, demonstrasi kraftangan tradisional serta perlawanan persahabatan
sepak takraw antara anak tempatan dan warga UPSI,” katanya.
Pada majlis yang sama, turut diadakan penyampaian secara simbolik surat tawaran pengajian Diploma Perguruan di UPSI kepada 25 orang asli yang terpilih, sebagai antara manifestasi
peluang pendidikan tinggi yang dibawakan menerusi program berkenaan.