Pengarah Urusan syarikat pembekal baja dibebaskan dengan jaminan SPRM

Foto RTM

ALOR SETAR, 17 September – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah membebaskan seorang pengarah urusan syarikat pembekal baja yang direman berhubung isu kelewatan pengagihan bekalan baja sebatian tambahan (Baja 3) kepada pesawah di negeri ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek ditahan reman selama empat hari dan dibebaskan selepas tempoh reman tamat.
  • Suspek dikehendaki melaporkan diri di pejabat SPRM Kedah setiap bulan dan hadir jika dipanggil.
  • Pengarah SPRM Kedah Datuk Nazli Rasyid Sulong mengesahkan suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM.
  • SPRM membuka kertas siasatan susulan aduan PeSAWAH mengenai kelewatan pengagihan Baja Padi 3 kepada pesawah MADA.

Menurut sumber SPRM, suspek lelaki berusia 30-an itu ditahan reman selama empat hari sehingga semalam, dan dibebaskan sebaik tempoh reman tamat.

Beliau, bagaimanapun memaklumkan suspek dikehendaki melaporkan diri di pejabat SPRM Kedah setiap bulan dan perlu hadir jika dipanggil untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan memberitahu suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Sebelum ini, SPRM membuka kertas siasatan berhubung isu kelewatan pengagihan Baja Padi 3 kepada pesawah di Kedah.

Kertas siasatan itu dibuka susulan aduan diterima daripada Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) pada 26 Ogos lepas berhubung kelewatan pembekalan baja yang menjejaskan keperluan pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), melibatkan kawasan seluas kira-kira 100,000 hektar.-BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.