
KUALA LUMPUR, 16 September – Karnival Masjid Negara Kuala Lumpur (MNKL) 2026 yang bermula Rabu hingga Ahad ini akan memperkukuh peranan Masjid Negara sebagai pusat komuniti.
- Karnival berkonsep masjid komuniti memupuk ukhuwah, perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
- Program selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI bagi memperkasa institusi masjid sebagai pusat pembangunan ummah.
- Masjid ditegaskan bukan sekadar tempat ibadat tetapi wadah menyatukan umat dan mencapai kesepakatan.
- Sepanjang lima hari, pengunjung menikmati aktiviti seperti larian, explorace, nasyid, permainan tradisional, ceramah, festival makanan serta pameran.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee, penganjuran karnival berkonsepkan masjid komuniti yang mengetengahkan pelbagai aktiviti ini dapat memupuk ukhuwah, perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, program berskala besar ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk memperkasa institusi masjid sebagai pusat pembangunan ummah, di samping memperkukuh hubungan akrab antara masjid dan rakyat.
“Ini membuktikan masjid bukan sekadar rumah ibadah atau tempat berkumpul, sebaliknya menjadi wadah menyatukan umat untuk berhimpun, mencapai kesepakatan dan bersama-sama memperjuangkan kepentingan ummah pada masa hadapan. Insya-Allah, ” katanya selepas merasmikan Karnival MNKL 2026 di sini.
Sepanjang lima hari penganjuran MNKL, pengunjung disajikan dengan pelbagai pengisian dan aktiviti menarik, antaranya MNKL Unity Fund Run 2026, Explorace, persembahan nasyid, pertandingan permainan tradisional, ceramah ustaz selebriti, festival makanan serta jualan dan pameran.