
KUALA LUMPUR, 16 September – Malaysia dan Australia akan memperkukuh kerjasama pertahanan menerusi hubungan yang lebih strategik dan substantif bagi mendepani landskap keselamatan serantau yang semakin kompleks.
- Perbincangan dengan ASIO di Melbourne mengenai perkembangan dan cabaran keselamatan semasa.
- Pertemuan dua hala di Geelong bersama Timbalan Perdana Menteri Richard Marles fokuskan perkembangan pertahanan dan bidang baharu yang boleh diterokai.
- Mesyuarat HLC ke-6 di Geelong akan menilai kemajuan, meneroka peluang baharu dan menentukan hala tuju hubungan pertahanan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perkara itu antara agenda utama lawatan kerja beliau ke Australia yang turut merangkumi pertemuan dengan Australian Security Intelligence Organisation (ASIO) di Melbourne bagi membincangkan perkembangan serta cabaran keselamatan semasa.
“Saya kemudiannya akan ke Geelong bagi mengadakan pertemuan dua hala bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles.
“Pertemuan ini akan memberi tumpuan kepada perkembangan hubungan pertahanan dua hala serta bidang baharu yang boleh diterokai bersama,” katanya dalam satu kenyataan.
Kemuncak lawatan ialah Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Malaysia-Australia (HLC) ke-6 pada 18 September ini di Geelong, yang akan dipengerusikan bersama Datuk Seri Mohamed Khaled dan Marles.
Mesyuarat itu akan menilai kemajuan kerjasama pertahanan kedua-dua negara, meneroka peluang baharu serta menentukan hala tuju hubungan pertahanan Malaysia-Australia.
Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, hubungan pertahanan kedua-dua negara yang terjalin sejak sekian lama turut diperkukuh menerusi platform seperti Five Power Defence Arrangements (FPDA) dan ASEAN Defence Ministers’ Meeting-Plus (ADMM-Plus).