
KUALA LUMPUR, 15 September – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said mengingatkan semua barisan kepimpinan UMNO supaya lebih berhati-hati, terutama dalam perkara berkaitan agama, bagi mengelakkan sebarang salah tafsir.
- Berhati-hati ketika menggunakan analogi agama dalam konteks politik untuk mengelakkan sebarang salah tafsir.
- Elakkan analogi agama yang boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada penganut agama tertentu dan penganut agama lain.
- Walau sekadar jenaka, pemimpin perlu anggap isu agama sangat sensitif dan berhati-hati dalam percakapan.
Katanya, penggunaan analogi berkaitan agama dalam konteks politik berpotensi menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan penganut agama berkenaan.
“Pada saya, walaupun niat kita ketika berbahas adalah untuk berjenaka atau menghiburkan perwakilan, kita perlu berhati-hati apabila menggunakan isu agama sebagai analogi.
“Saya bimbang ia boleh menimbulkan salah tafsir, bukan sahaja dalam kalangan kita, tetapi juga kepada mereka yang menganut agama lain.
“Jadi, saya melihat isu agama sebagai perkara yang sangat sensitif. Sebagai pemimpin, kita wajar berhati-hati dalam perkara seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Kayuhan Fashionista Bulan Kebangsaan “Dua Jiwa, Satu Sambutan” di sini.