
YAN, 15 September – Golongan pesawah di Kedah menyatakan kelegaan setelah menerima sepenuhnya pengagihan baja sebatian tambahan atau Baja 3 yang sebelum ini lewat diterima.
- Hasil padi kekal berkualiti walaupun pembajaan lewat, menurut pesawah.
- Pesawah tanggung kos tambahan antara RM100 hingga RM130 serelong; mahu insentif dan pampasan.
- SPRM menyiasat kelewatan pembekalan Baja 3; kerajaan lantik Malaysian NPK Fertilizer selesaikan baki bekalan.
Pesawah di Kampung Dulang Yan Kecil di sini berkata walaupun kelewatan tersebut menyebabkan ada dalam kalangan pesawah melakukan pembajaan di penghujung musim penuaian padi, namun hasil yang diperoleh tidak mengecewakan.
Tinjauan RTM mendapati aktiviti penuaian padi giat dilaksanakan di kawasan petak sawah yang melibatkan lebih 1,000 pesawah di kawasan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Guar.
Menurut salah seorang pesawah, Anwar Yaakob, selepas menerima baja berkenaan dalam tempoh seminggu ini, pihaknya mendapati kualiti padi sama seperti yang diharapkan.
Golongan tersebut juga mengharapkan kerajaan mengambil tindakan tegas supaya kejadian sama tidak berulang memandangkan aktiviti penanaman padi menjejaskan kualiti padi jika terlewat pembajaannya.
“Saya berharap kerajaan ambil tindakan yang tegas agar isu kelewatan penerimaan Baja 3 tidak menjejaskan aktiviti dan hasil pertanian,” menurut pesawah, Zakaria Ahmad.
Para pesawah turut berharap kerajaan untuk memberi insentif kepada pesawah yang terjejas dengan isu kelewatan pengagihan Baja 3 berikutan mereka terpaksa mengeluarkan modal tambahan sendiri bagi pembelian baja dari luar.
“Kos meningkat antara RM100 hingga RM130 serelong (0.29 hektar). Baja yang diperoleh tidak dapat digunakan pada musim kali ini disimpan untuk kegunaan musim penanaman baharu dalam beberapa hari lagi dan dijangka boleh juga digunakan bagi menghadapi musim kemarau,” jelas pesawah, Che Murad Mat Cha.
Isu kelewatan pembekalan Baja Padi 3 di bawah Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Susulan kemelut yang berlaku, Malaysian NPK Fertilizer Sdn. Bhd. (anak syarikat NAFAS) telah diberi kuasa dan tanggungjawab penuh oleh kerajaan untuk mengambil alih dan menyelesaikan baki pembekalan Baja 3 kepada pesawah yang terjejas di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).