
MALE, 15 September – Malaysia bersetuju secara prinsip menyediakan kemudahan kewangan US$100 juta kepada Maldives.
- Bank Negara Malaysia dan Maldivian Monetary Authority perlu bekerjasama segera memperhalusi mekanisme dan proses agar persetujuan dapat direalisasikan dengan cepat.
- Maldives memerlukan pinjaman mudah disalurkan melalui BNM dan MMA; syarat terperinci sedang diteliti kedua-dua pihak.
- Malaysia tidak mempunyai masalah asas kerana rekod pembiayaan Maldives, namun kerjasama dan jaminan kerajaan mesti dipatuhi.
- Presiden Dr Mohamed Muizzu menulis surat kepada Anwar meminta BNM memberi maklum balas terhadap permintaan MMA.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Bank Negara Malaysia (BNM) dan Maldivian Monetary Authority (MMA) perlu bekerjasama lebih segera dalam memperhalusi mekanisme dan proses berkaitan bagi memastikan persetujuan tersebut direalisasikan dalam tempoh singkat.
“Dia (Maldives) memerlukan pinjaman mudah dari Malaysia, tetapi dilakukan melalui BNM dan MMA. Syarat-syarat terperinci sedang diteliti kedua-dua bank. Walaupun secara dasarnya kita tiada masalah kerana rekod pembiayaan Maldives, kerjasama dan jaminan kerajaan yang mesti dipatuhi,” katanya.
Datuk Seri Anwar berkata demikian ketika diminta memperincikan isu tersebut pada sesi Sidang Media Bersama Media Malaysia sempena lawatan rasminya di sini.
Sebelum itu, pada sidang media Perdana Menteri dan Presiden Maldives dekat Pejabat Presiden di sini, Datuk Seri Anwar memaklumkan Presiden republik itu, Dr Mohamed Muizzu telah menulis surat kepada beliau untuk meminta BNM memberi maklum balas terhadap permintaan MMA berhubung kemudahan kewangan berkenaan.