Perbezaan generasi bukan penghalang perkukuh jati diri masyarakat

Gambar hiasan /RTM

KUALA LUMPUR , 15 September Perbezaan antara generasi tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha memperkukuh jati diri dalam kalangan masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Berikan ruang untuk generasi muda bekerjasama dengan generasi lain bagi membina kefahaman dan menghargai perbezaan latar, budaya dan pengalaman.
  • Pendekatan membina jati diri harus mengambil kira perubahan zaman, menekankan nilai yang membentuk masyarakat lebih seimbang, adil dan sejahtera.
  • Jati diri bukan sekadar simbol, simbol perlu diterjemah kepada tindakan seperti tanggungjawab, integriti, empati dan sumbangan kepada pembangunan negara.

Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia, Syafiq Ridzwan Jamaluddin berpandangan, generasi muda termasuk Generasi Z perlu diberi ruang untuk bekerjasama dengan generasi milenial dan generasi terdahulu.

Ia bagi membina kefahaman serta menghargai perbezaan latar, budaya dan pengalaman.

Sehubungan itu, pendekatan membina karakter dan jati diri perlu mengambil kira perubahan zaman serta realiti kehidupan generasi baharu, dengan penekanan kepada nilai yang dapat membentuk masyarakat lebih baik, seimbang, adil dan sejahtera.

“Kita sentiasa melihat bagaimana golongan belia dan dewasa perlu bekerja bersama-sama Generasi Z, generasi milenial dan generasi-generasi lain. Kita perlu bekerjasama supaya kita sentiasa memahami dan menerima kewujudan setiap generasi ini.

“Generasi-generasi ini juga perlu memahami bahawa jati diri merupakan perkara penting yang perlu dipelihara dan diterima bersama. Pada masa yang sama, kita perlu memahami apa sebenarnya yang diinginkan oleh golongan muda.

“Kebiasaannya, golongan muda mahu didengari. Sebab itu mereka mahu kewujudan mereka dirasai, pandangan mereka didengar dan dihargai.

“Jadi, inilah sebenarnya yang diinginkan oleh golongan muda. Namun, perbezaan generasi, situasi, latar budaya dan masyarakat menyebabkan terdapat perbezaan dalam cara kita melihat sesuatu perkara. Justeru, perkara inilah yang sepatutnya kita pupuk dan bina bersama,” katanya dalam rancangan Bicara Naratif di Angkasapuri di sini.

Katanya lagi, usaha membentuk jati diri dalam kalangan masyarakat juga tidak seharusnya terhad kepada aspek simbolisme seperti mengenali lambang negara, Jalur Gemilang atau Jata Negara.

Sebaliknya, pemahaman terhadap simbol-simbol berkenaan perlu diterjemahkan kepada tindakan dan nilai kehidupan.

Ini termasuk sikap bertanggungjawab, berintegriti, berempati serta menyumbang kepada pembangunan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.