
KUALA LUMPUR, 15 September – Pengguna elektrik telah menerima rebat sebanyak RM3.1 bilion sejak mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) diperkenalkan pada 1 Julai 2025 berbanding surcaj RM800 juta dikenakan pada tempoh sama.
- Kerajaan menyalurkan RM435 juta melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik bagi mengurangkan impak surcaj AFA kepada pengguna.
- AFA menggantikan ICPT; bukan caj tambahan dan tidak memberi keuntungan kepada TNB; mekanisme dua hala untuk imbang kos bahan api dan kadar tukaran.
- Pengguna domestik dengan penggunaan 600 kWj ke bawah dikecualikan daripada AFA, cukai perkhidmatan lapan peratus dan Caj Peruncitan.
- Pengguna boleh pantau penggunaan melalui aplikasi myTNB, amalkan kecekapan tenaga dan tukar ke skim Time of Use untuk kadar lebih rendah.
Tenaga Nasional Bhd (TNB) dalam kenyataan memaklumkan, kerajaan menyalurkan tambahan sebanyak RM435 juta melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) bagi mengurangkan impak surcaj AFA kepada pengguna.
“AFA diperkenalkan bermula 1 Julai 2025 berikutan penstrukturan tarif elektrik sebagai ganti kepada mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT).
“Justeru, AFA bukan caj tambahan baharu dan ia tidak menyalurkan keuntungan kepada TNB. AFA berfungsi sebagai mekanisme dua hala untuk mengimbangi perubahan kos bahan api dan kadar tukaran wang asing,” menurut kenyataan itu hari ini.
TNB memaklumkan, apabila kos bahan api global lebih rendah, pengguna menikmati rebat dan jumlah penjimatan dipulangkan terus ke dalam bil elektrik.
“Sejak pelaksanaan tarif elektrik baharu, pengguna menikmati rebat AFA selama sembilan bulan berturut-turut dari Ogos 2025 hingga April 2026.
“Surcaj pula hanya mula dikenakan pada Mei 2026 apabila kos penjanaan meningkat berikutan krisis di Asia Barat,” tambah kenyataan itu.
Kadar AFA bagi September 2026 ditetapkan pada kadar +3.67 sen setiap kilowatt-jam (kWj) dengan maklumat itu dikemas kini setiap bulan selepas pengesahan Suruhanjaya Tenaga.
“Pengguna domestik dengan penggunaan 600 kWj ke bawah sebulan dikecualikan sepenuhnya daripada caj AFA, sama ada dalam bentuk rebat atau surcaj. Tambahan lagi, pengguna di dalam julat ini turut dikecualikan daripada dikenakan cukai perkhidmatan lapan peratus dan Caj Peruncitan,” menurut kenyataan itu.
Menerusi struktur tarif baharu itu, kumpulan pengguna berkenaan membayar kira-kira dua hingga 14 peratus lebih rendah berbanding tarif sebelum ini, bergantung kepada tahap penggunaan.
TNB turut menjelaskan, AFA tidak menyebabkan peningkatan mendadak dalam bil elektrik, faktor seperti musim perayaan, cuti sekolah dan bekerja dari rumah turut mempengaruhi pola penggunaan peralatan elektrik di rumah dan memberikan kesan rantaian bil bulanan.
Bagaimanapun pengguna boleh memantau penggunaan elektrik secara bulanan dan harian menerusi aplikasi myTNB, mengamalkan kecekapan tenaga serta bertukar kepada skim Time of Use (TOU) bagi menikmati kadar tarif lebih rendah pada waktu luar puncak.