
KUALA LUMPUR, 15 September – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menasihatkan rakyat supaya sentiasa menjaga kesihatan serta memakai pelitup muka susulan keadaan jerebu yang melanda negara.
- Kualiti udara tidak sihat boleh menjejaskan kesihatan dan menyebabkan masalah pernafasan.
- Warga emas, kanak-kanak, pesakit pernafasan dan pekerja luar dinasihatkan ambil langkah pencegahan untuk lindungi diri.
- Kurangkan aktiviti luar apabila IPU tidak sihat, minum air secukupnya dan ikuti pengumuman rasmi serta bacaan IPU harian.
Dalam hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda berdua bertitah, kualiti udara yang tidak sihat boleh menjejaskan kesihatan dan menyebabkan pelbagai masalah, khususnya berkaitan sistem pernafasan.
“Kualiti udara yang tidak sihat boleh menjejaskan kesihatan dan menyebabkan pelbagai masalah, khususnya berkaitan sistem pernafasan,” titah Baginda.
Sehubungan itu, rakyat khususnya warga emas, kanak-kanak, golongan yang mempunyai masalah pernafasan serta individu yang bekerja di luar dinasihatkan supaya mengambil langkah pencegahan bagi melindungi diri daripada kesan buruk pencemaran udara.
Seri Paduka Baginda turut menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar, terutama ketika bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) berada pada tahap tidak sihat.
“Rakyat juga disaran supaya minum air secukupnya, sentiasa peka terhadap pengumuman rasmi serta mengikuti perkembangan bacaan IPU harian bagi memastikan kesihatan dan keselamatan diri serta keluarga sentiasa terpelihara,” titah Baginda lagi.