
SANAA, 15 September – Kumpulan Houthi mendakwa Arab Saudi melancarkan 54 serangan udara di beberapa kawasan di Yaman dalam tempoh 24 jam.
- Serangan menyasarkan Taiz, Lahj, Al-Jawf, Marib dan Hodeida selepas Houthi lancarkan dron dan peluru berpandu ke kemudahan Saudi.
- Amaran pertahanan awam dikeluarkan untuk Khamis Mushait, Abha dan Najran selepas letupan kuat mengganggu penduduk tempatan.
- Serangan peluru berpandu Houthi di Yaman barat membunuh lapan anggota tentera kerajaan, menurut sumber tentera.
- Konflik mencetuskan 93,864 pemindahan sejak Julai dan menambah ketegangan serantau termasuk penangguhan rundingan Teluk dengan Iran.
Menurut Houthi, serangan Saudi menyasarkan wilayah Taiz, Lahj, Al-Jawf, Marib dan Hodeida, selepas kumpulan itu melancarkan puluhan dron dan peluru berpandu ke kemudahan ketenteraan Arab Saudi.
Serangan berkenaan turut mendorong pihak pertahanan awam Saudi mengeluarkan amaran kepada penduduk di bandar Khamis Mushait dan Abha, sebelum amaran ringkas turut dikeluarkan di Najran.
Seorang penduduk Khamis Mushait memberitahu, dia terdengar letupan kuat, menyebabkan kebakaran berlarutan untuk tempoh lama.
“Sejujurnya, kami langsung tidak dapat tidur,” katanya.
Serangan peluru berpandu Houthi di Yaman barat pula mengorbankan lapan anggota tentera kerajaan Yaman, menurut dua sumber tentera kepada AFP.
Al-Masirah TV turut melaporkan dua orang awam terbunuh dalam serangan udara Saudi yang memusnahkan sebuah jambatan di wilayah Taiz.
Pertempuran kembali memuncak ketika konflik serantau lebih luas antara Amerika Syarikat dengan Iran masih menemui jalan buntu.
Dalam perkembangan berkaitan, pertemuan dicadangkan antara negara-negara Teluk dengan Iran mengenai masa depan Selat Hormuz ditangguhkan pada Isnin.
Tehran menuduh Riyadh menggunakan konflik Yaman sebagai alasan untuk menangguhkan rundingan.
Arab Saudi pula dijangka memperkukuh kerjasama serantau apabila Putera Mahkota Mohammed bin Salman dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi pada Selasa bagi membincangkan perkembangan serantau.
Penganalisis Middle East Institute, Mirette Mabrouk berkata Mohammed bin Salman dijangka mendapatkan jaminan bahawa Mesir bersedia membantu melindungi Selat Bab al-Mandab jika diperlukan, memandangkan laluan Terusan Suez turut terancam akibat sekatan Houthi.
Pertempuran yang kembali tercetus sejak Julai itu telah menyebabkan 93,864 orang terpaksa meninggalkan kediaman, menurut agensi migrasi PBB.
Perang saudara Yaman bermula pada 2014 selepas Houthi menawan Sanaa sebelum Arab Saudi mengetuai campur tangan ketenteraan menyokong kerajaan setahun kemudian. – AFP