
BANGKOK, 14 September – Malaysia dan Thailand memperkukuh kerjasama strategik sektor tenaga menerusi pemeteraian dua perjanjian baharu bagi Blok A-18-01 di Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA).
- PSC dimeterai antara PC JDA Limited dan PTTEP JDX; GSA turut melibatkan PETRONAS dan PTT Public Company Limited.
- Pemeteraian disaksikan pemimpin kanan termasuk Perdana Menteri Thailand, Menteri Tenaga Thailand dan Menteri Ekonomi Malaysia.
- Gas asli dijangka menyumbang 56 peratus daripada bekalan tenaga primer Malaysia menjelang 2050.
- Kerjasama rentas sempadan penting untuk membina ekosistem tenaga yang selamat, berdaya tahan, mampan serta menarik pelaburan jangka panjang.
Kementerian Ekonomi menerusi kenyataan berkata, kerjasama itu merupakan pemeteraian Production Sharing Contract, PSC dan Gas Sales Agreement (GSA) yang akan memastikan kesinambungan pembangunan blok berkenaan, selain menyokong keselamatan tenaga kedua-dua negara.
PSC Blok A-18-01 dimeterai antara MTJA, PC JDA Limited dan PTTEP JDX, manakala GSA turut melibatkan PETRONAS dan PTT Public Company Limited.
Pemeteraian sempena Gastech 2026 di Bangkok itu disaksikan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul, Menteri Tenaga Thailand Akanat Promphan dan Menteri Ekonomi Malaysia, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Menurut Akmal Nasrullah, gas asli terus memainkan peranan utama dalam sistem tenaga Malaysia dan dijangka menyumbang 56 peratus daripada jumlah bekalan tenaga primer negara menjelang 2050.
Beliau berkata, kepastian dan kesinambungan pembangunan sumber tenaga penting untuk menarik pelaburan, mengekalkan pengeluaran serta menjana nilai jangka panjang.
“Pencapaian Blok A-18-01 turut menyediakan asas untuk memperluas pembangunan MTJDA, termasuk membuka laluan kepada PSC dan GSA baharu bagi Blok B-17-01,” ujarnya.
Malaysia juga katanya melihat kerjasama rentas sempadan semakin penting seiring peningkatan keperluan tenaga ASEAN, dengan kerjasama serantau diperlukan bagi membina ekosistem tenaga yang selamat, berdaya tahan dan mampan.