Dua jambatan besi ke Pos Gob beri manfaat kepada lebih 1,000 orang asli

Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani

GUA MUSANG, 14 September – Pembinaan dua jambatan besi di Jalan Perhubungan Desa ke Pos Gob, di sini yang dijangka siap pada Januari 2027 memberi manfaat besar kepada lebih 1,000 penduduk orang asli khususnya dalam memudahkan akses pendidikan, kesihatan dan urusan harian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan memperuntuk hampir RM1 juta bagi membina jalan yang lebih selesa dan selamat untuk penduduk.
  • Jalan baik memudahkan anak ke sekolah dan memberi akses lebih selamat ke klinik di Kuala Betis.
  • Penduduk terpaksa mengambil sehingga lima jam ke Gua Musang apabila musim hujan kerana keadaan jalan rosak teruk.
  • Jawatankuasa kampung mahu kerja naik taraf dipercepat untuk mudahkan penghantaran pesakit dan pengangkutan pelajar, selepas kejadian murid tertinggal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, kerajaan memperuntukan hampir RM1 juta bagi membina kemudahan jalan yang baik bagi memastikan penduduk lebih selesa dan selamat.

“Kerja ini harus dilaksanakan segera dan semestinya berkualiti demi memastikan keselesaan penduduk di Pos Gob. Manfaatnya juga dijangka memberi impak besar kepada penduduk, kerana asas kepada perhubungan sesuatu tempat ialah jaringan jalan raya yang baik.

“Dengan jalan yang lebih baik dan selesa, anak-anak dapat ke sekolah dengan lebih mudah, manakala penduduk juga mempunyai akses yang lebih selamat ke klinik kesihatan terdekat di Kuala Betis. Sudah tentu banyak lagi kemudahan dapat dinikmati apabila jalan ini siap dan berada dalam keadaan baik serta selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui RTM selepas meninjau pembinaan dua jambatan besi di Jalan Perhubungan Desa ke Pos Gob, di sini.

Sementara itu, penduduk Pos Gob Elan Pedik berharap projek pembinaan dapat dilaksanakan mengikut jadual.

Menurut Elan Pedik penduduk orang asli yang tinggal di Pos Gob terpaksa mengambil masa sehingga lima jam untuk keluar ke bandar Gua Musang kerana keadaan jalan tanah rosak teruk ketika musim hujan.

“Kalau jalan rosak, kami orang kampung yang hendak keluar ke Gua Musang boleh mengambil masa sehingga kira-kira lima jam untuk sampai. Kami berharap pihak kerajaan dapat membantu kami kerana keadaan jalan di sini masih belum memuaskan, walaupun sudah berpuluh-puluh tahun,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Gob, Adi Liman berharap kerja menaik taraf jalan di kawasan berkenaan dapat dipercepatkan demi memudahkan urusan penduduk, termasuk menghantar pesakit dan mengambil anak-anak ke sekolah.

“Setiap hari atau setiap minggu, kami perlu berulang-alik ke kampung dan keadaan ini amat menyukarkan. Baru-baru ini, saya melihat seorang murid sekolah tertinggal di tengah jalan sebelum terpaksa berjalan kaki pulang. Kami orang kampung kemudian pergi mengambilnya kerana jalan licin dan kenderaan terpaksa ditinggalkan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.