
KUALA LUMPUR, 14 September – Usaha memperluas penyertaan Bumiputera dalam pasaran modal terus menjadi antara agenda nasional bagi memperkukuh pemilikan, penyertaan dan daya saing Bumiputera dalam sektor ekonomi bernilai tinggi.
- PuTERA35 dan RMK-13 fokus membina syarikat Bumiputera berprestasi tinggi dengan asas perniagaan, tadbir urus dan kepimpinan yang kukuh.
- PuTERA35 menyasarkan 10 hingga 20 syarikat Bumiputera sebagai peneraju rantaian bekalan bernilai melebihi RM500 juta.
- Pasaran modal membantu syarikat tempatan mendapat akses modal, meningkatkan skala operasi dan memperkukuh daya saing serantau serta global.
- Kerajaan melalui TERAJU menyokong pembiayaan strategik, pelaburan dan pembangunan kapasiti; program XCELERATE tingkatkan kesiapsiagaan sebelum penyenaraian.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah berkata, tumpuan kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 dan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035, (PuTERA35) adalah untuk membina lebih banyak syarikat Bumiputera berprestasi tinggi dengan asas perniagaan, tadbir urus dan kepimpinan yang kukuh.
Menerusi PuTERA35, kerajaan menyasarkan untuk melahirkan antara 10 hingga 20 syarikat Bumiputera sebagai peneraju rantaian bekalan, dengan setiap syarikat disasarkan mencapai nilai melebihi RM500 juta.
“Objektif kami bukan sekadar untuk menambah jumlah syarikat tersenarai, tetapi membangunkan barisan syarikat berprestasi tinggi yang mempunyai asas kukuh, tadbir urus baik, kepimpinan profesional serta keupayaan mencipta nilai mampan bagi meningkatkan penyertaan, pemilikan dan kawalan Bumiputera”, katanya ketika berucap pada Majlis Penyenaraian United Asiapac Energy Berhad di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Penyenaraian itu turut mencipta sejarah apabila syarikat ini menjadi syarikat pakar intervensi telaga pertama di Malaysia yang disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Tambahnya, pasaran modal memainkan peranan penting dalam membantu syarikat tempatan mendapatkan akses kepada modal, meningkatkan skala operasi dan memperkukuh daya saing bagi menembusi pasaran serantau serta global.
Kerajaan menerusi TERAJU pula akan terus menyokong syarikat Bumiputera berpotensi tinggi melalui pembiayaan strategik, pelaburan dan pembangunan kapasiti.
Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah program XCELERATE bagi memperkukuh kesiapsiagaan kewangan, struktur korporat, tadbir urus dan kepimpinan syarikat sebelum memasuki pasaran modal.