
JAKARTA, 14 September – Dua gempa bumi melanda perairan di luar pantai Jawa dan Nusa Tenggara Timur di timur Indonesia pada pagi Isnin, dengan gegaran dirasai di beberapa kawasan, menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG).
- Gempa magnitud 5.2 pada 08:42, pusat kira-kira 156 km tenggara Kabupaten Malang, kedalaman 10 km.
- Gegaran dirasai di beberapa kawasan Jawa Timur dan Badung, Bali termasuk Pacitan, Tulungagung, Blitar, Lumajang, Jember, Kediri, Bondowoso, Batu dan Banyuwangi.
- Gempa awal magnitud 4.9 pada 05:40, pusat 56 km barat laut Ruteng, Kabupaten Manggarai, kedalaman 10 km, dirasai di Manggarai dan Manggarai Barat.
- BMKG merekod 15 kejadian gempa sehingga 09:55; gempa lain magnitud 2.4-4.8 dilaporkan di Flores, Sulawesi dan Sumba.
Menurut data di laman sesawang agensi itu, gempa bumi lebih kuat bermagnitud 5.2 berlaku pada 8.42 pagi waktu tempatan dengan pusat gempa di laut kira-kira 156 kilometer (km) tenggara Kabupaten Malang di Jawa Timur pada kedalaman 10 km.
Agensi itu memaklumkan gegaran gempa bumi berkenaan dirasai di beberapa kawasan di Jawa Timur termasuk Pacitan, Tulungagung, Blitar, Lumajang, Jember, Kediri, Bondowoso, Batu dan Banyuwangi, serta Badung di pulau Bali yang berdekatan.
Terdahulu, pada 5.40 pagi, agensi itu memaklumkan gempa bumi berukuran 4.9 magnitud melanda perairan kira-kira 56 km barat laut Ruteng di Kabupaten Manggarai, Nusa Tenggara Timur, juga pada kedalaman 10 km.
Ramai penduduk yang berada di dalam bangunan di Manggarai dan Kabupaten Manggarai Barat yang berdekatan merasai gegaran itu, manakala gegaran lebih lemah dilaporkan di Ngada, sebuah lagi kabupaten di Nusa Tenggara Timur.
Kedua-dua gempa bumi itu adalah antara 15 kejadian gempa dengan magnitud berbeza-beza yang direkodkan di seluruh Indonesia dan disenaraikan dalam sistem pemantauan masa nyata BMKG setakat 9.55 pagi waktu tempatan pada Isnin.
Gempa bumi lain berukuran antara 2.4 hingga 4.8 magnitud dan direkodkan di beberapa kawasan termasuk Flores, Sulawesi dan Sumba. – BERNAMA