
KOTA KINABALU, 14 September – DPMM FC mencipta kejutan apabila menewaskan Sabah FC 2-1 dalam aksi minggu keempat Liga Super di Stadium Likas, malam tadi.
- James McAllister puji disiplin pemain; kawal permainan, ciptakan peluang dan laksana perancangan taktikal dengan baik.
- Ebenezer Abban (minit 12), Gonzalo Di Renzo (minit 25) dan Jordan Murray (minit 65) menjaringkan gol perlawanan.
- Juan Torres Garrido kata kekurangan tenaga babak kedua dan jadual padat jejaskan latihan; beliau yakin Sabah mampu bangkit dengan masa latihan lebih panjang.
Kemenangan itu merupakan kali kedua DPMM FC menewaskan Sabah di laman lawan, sekali gus membolehkan pasukan itu membawa pulang tiga mata penuh.
Ketua jurulatih DPMM FC, James McAllister memuji disiplin anak buahnya yang berjaya mengawal permainan dan melaksanakan perancangan taktikal dengan baik.
“Kami mengawal sebahagian besar permainan, mencipta banyak peluang dan bertahan dengan baik, tersusun serta berdisiplin,” katanya.
DPMM FC membuka jaringan menerusi Ebenezer Abban pada minit ke-12 sebelum Gonzalo Di Renzo menyamakan kedudukan untuk Sabah pada minit ke-25.
Jordan Murray kemudian meletakkan DPMM FC kembali di hadapan pada minit ke-65, sebelum kelebihan itu dipertahankan sehingga wisel penamat.
Sementara itu, ketua jurulatih Sabah FC Juan Torres Garrido mengakui kekurangan tenaga pada babak kedua menjadi antara faktor kekalahan pasukannya.
Beliau berkata jadual padat sebelum ini turut mengehadkan masa latihan dan persediaan taktikal Sabah.
“Pada babak kedua, kami tidak bermain dengan baik dan gagal bangkit selepas melepaskan gol kedua,” katanya.
Torres Garrido bagaimanapun yakin Sabah mampu bangkit selepas memperoleh tempoh latihan lebih panjang untuk memperkemas kelemahan pasukan.
Sabah dan DPMM FC masing-masing mengumpul enam mata hasil dua kemenangan dan dua kekalahan, dengan Sabah di tangga keempat manakala DPMM FC di tangga kelima berdasarkan perbezaan jaringan.