Melaka jamin keselamatan bekalan air susulan penemuan tong bersimen berisi rangka manusia

Foto RTM

MELAKA, 13 September – Tiada pelanggaran terhadap parameter kualiti air di Empangan Durian Tunggal dikesan setakat ini susulan penemuan disyaki rangka manusia dalam sebuah tong berisi simen di kawasan berhampiran, pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bekalan air terawat selamat selepas melalui proses rawatan di loji sebelum disalurkan kepada pengguna.
  • Kerajaan Negeri akan meningkatkan pemantauan, pensampelan dan ujian kualiti air di kawasan tadahan.
  • Penemuan tidak boleh dianggap sebagai pencemaran atau menjejaskan keselamatan tanpa pengesahan dan penilaian teknikal.
  • Orang ramai dinasihatkan tidak panik atau menyebarkan maklumat belum disahkan mengenai keselamatan bekalan air atau identiti mangsa.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Salhah Salleh memaklumkan, bekalan air terawat kepada pengguna adalah selamat selepas melalui proses rawatan di loji rawatan air sebelum disalurkan kepada pengguna.

“Kerajaan Negeri memahami kebimbangan orang ramai, memandangkan kawasan berkenaan merupakan sebahagian daripada kawasan tadahan dan sumber air mentah bagi bekalan air negeri,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Susulan itu jelas beliau, pemantauan dan pemeriksaan kualiti air di kawasan berkenaan akan dipertingkat, termasuk pensampelan dan ujian bagi memastikan keselamatan sumber air terus terjamin.

Kerajaan Negeri turut menegaskan penemuan itu tidak boleh ditafsirkan secara langsung sebagai pencemaran atau menjejaskan keselamatan bekalan air tanpa pengesahan berdasarkan keputusan pemantauan dan penilaian teknikal.

“Orang ramai dinasihatkan tidak panik atau membuat kesimpulan termasuk menyebarkan maklumat yang belum disahkan berkaitan keselamatan bekalan air, identiti mangsa atau punca kejadian,” jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.