Raja Permaisuri Agong menyantuni keluarga mangsa kebakaran di Kluang

Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KLUANG, 13 September – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan menziarahi Khairul Nizam Wahid yang kehilangan isteri dan dua anak lelakinya dalam tragedi kebakaran rumah di Taman Titiwangsa di sini pada 9 September lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas disalurkan menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor untuk meringankan beban keluarga mangsa.
  • Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) diperintahkan membiayai sepenuhnya kerja baik pulih dan pembangunan semula rumah teres dua tingkat mangsa.
  • Sesi lawatan dimulakan dengan bacaan tahlil dan doa; keluarga menzahirkan rasa sebak serta syukur atas keprihatinan orang ramai.

Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kunjungan berkenaan turut menyaksikan Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga mangsa.

“Selain itu, Seri Paduka Baginda turut menitahkan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) untuk membiayai sepenuhnya kerja baik pulih dan pembangunan semula rumah teres dua tingkat milik mangsa yang terjejas dalam kebakaran tersebut,” menurut hantaran itu.

Dalam kunjungan berkenaan, Seri Paduka Baginda turut diiringi isteri Tunku Mahkota Johor Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam termasuk Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Johor Datin Siti Azizah Omar dan Pegawai Daerah Kluang Azurawati Wahid.

Sesi lawatan dimulakan dengan bacaan tahlil ringkas dan doa buat mangsa yang terkorban.

Khairul menzahirkan rasa sebak dan syukur atas keberangkatan Seri Paduka Baginda serta Che’ Puan Besar Khaleeda yang sudi menziarahi dan menyantuni keluarganya dalam saat mereka berdepan kehilangan insan tersayang.

“Saya berterima kasih atas keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap nasib yang menimpa kami sekeluarga. Walaupun nyawa mereka tiada gantinya, namun saya bersyukur apabila ramai orang mendoakan arwah isteri dan anak-anak saya,” katanya kepada Royal Press Office (RPO).

Tiga beranak yang maut dalam kebakaran rumah teres dua tingkat berkenaan ialah Noraini Ibrahim, 49, serta anaknya Khairul Nurhaziqq Khairulnizam, 18, dan Khairul Nurhadiff Khairulnizam, 11.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.