
BESUT, 13 September – Dua wanita berusia 49 dan 27 tahun ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia dalam kejadian disyaki melibatkan renjatan elektrik di sebuah kolam ternakan ikan di Pantai Air Tawar, di sini petang tadi.
- Polis menerima laporan kejadian kira-kira pukul 1.40 petang.
- Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Daerah Besut untuk bedah siasat.
- Tenaga Nasional Berhad hadir di lokasi untuk membantu pemeriksaan berkaitan.
- Punca masih disiasat; kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut dan orang ramai dinasihatkan tidak berspekulasi.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd Rozaime Ab Rahim dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 1.40 tengah hari.
“Kedua-dua mangsa disyaki terkena renjatan elektrik di kawasan kolam berkenaan sebelum pegawai perubatan yang hadir di lokasi mengesahkan mereka telah meninggal dunia.
“Mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Daerah Besut bagi tujuan bedah siasat, manakala pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut berada di lokasi bagi membantu pemeriksaan berkaitan,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian berkenaan.