
DURIAN TUNGGAL, 13 September – Satu tong berisi simen ditemukan dengan tengkorak dan serpihan tulang manusia dipercayai mangsa bunuh di kawasan tadahan air Empangan Durian Tunggal, Melaka.
- Rangka dipercayai sudah berusia tiga minggu.
- Penemuan dilapor kira-kira 11:40 pagi oleh tiga pemancing yang memotong bahagian atas tong.
- Pemeriksaan awal menunjukkan kesan simen pada bahagian atas, tengkorak terlerai dan tiada tisu melekat pada tulang.
- Bomba membantu mengangkat tong ke hospital; tiada tangkapan setakat ini; siasatan dijalankan bagi mengenal pasti mangsa, disiasat mengikut Seksyen 302.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata rangka itu dipercayai sudah berusia tiga minggu.
Penemuan itu dilaporkan kira-kira pukul 11:40 pagi tadi selepas tiga pemancing menemukan tong berkenaan, sebelum memotong sedikit bahagian atasnya untuk mengetahui kandungan di dalamnya.
Hasil pemeriksaan awal polis yang tiba pada 12 tengah hari mendapati bahagian atas tong berkenaan mempunyai kesan simen, manakala tengkorak ditemukan sudah terlerai dan tiada tisu melekat pada tulang.
“Di dalam tong tersebut adalah rangka ataupun tulang dipercayai manusia yang berada kira-kira 15 meter dari arah jalan. Kami terpaksa meminta bantuan daripada pihak bomba untuk mengangkat tong tersebut untuk dibawa ke hospital bagi menjalankan siasatan selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata setakat ini tiada tangkapan dilakukan dan pihaknya sedang menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti jantina serta identiti mangsa.