
KANGAR, 13 September- Nelayan yang dilaporkan terjatuh ke dalam laut di perairan Sungai Baru berhampiran Pulau Batu Layang dekat sini pagi semalam ditemukan lemas kira-kira 400 meter dari pulau itu hari ini.
- Khairul Amir Bahroom, 33, ditemukan pada 8.25 pagi oleh komuniti nelayan yang memaklumkan kepada pasukan operasi mencari dan menyelamat.
- Mayat dibawa dengan Bot Benteng 1207 ke Jeti Kastam Kuala Perlis sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Tuanku Fauziah untuk bedah siasat.
- Mangsa dilaporkan terjatuh ke laut kira-kira 3.30 pagi selepas memasang bubu bersama abangnya; abang mencari gagal dan buat laporan polis.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Nak Rong Si Prom berkata Khairul Amir Bahroom, 33, ditemukan pada 8.25 pagi oleh komuniti nelayan yang memaklumkan perkara itu kepada pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Pihak operasi menerima maklumat daripada komuniti nelayan dan Bot Benteng 1207 digerakkan untuk mengambil serta membawa mayat ke Jeti Kastam Kuala Perlis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketua Polis Daerah Kangar, ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Fauziah di sini untuk bedah siasat.
Mangsa dilaporkan terjatuh ke laut kira-kira 3.30 pagi semalam selepas memasang bubu untuk menangkap udang bersama-sama abangnya.
Abang mangsa cuba mencarinya namun gagal sebelum kembali ke daratan dan membuat laporan polis.
Sementara itu, kakak mangsa, Mazuriati Bahroom yang ditemui RTM berkata penemuan adik bongsu daripada lapan beradik itu melegakan keluarganya yang tidak putus berdoa sejak semalam.
“Syukur Alhamdulillah, doa kami untuk dipertemukan dengan arwah dimakbulkan. Apabila mendapat berita bahawa abang iparnya sendiri yang menemukan mangsa, kami sangat bersyukur,” katanya.
Allahyarham Khairul Amir yang menetap di Kuala Perlis meninggalkan seorang isteri, dua anak yang masih bersekolah rendah dan seorang bayi.
Mazuriati berkata adik bongsunya itu kebiasaannya turun ke laut melalui pangkalan nelayan di Kuala Kerpan, Kedah kerana botnya dipakir di situ sebelum menjalankan aktiviti menangkap ikan berhampiran perairan Batu Layang.
Allahyarham akan dikebumikan di kampung halamannya di Kuala Perlis.