NAFAS berjaya bekal 10,500 tan metrik baja ke kawasan MADA dalam tempoh 10 hari

Foto RTM

GURUN, 12 September – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) melalui anak syarikatnya, Malaysian NPK Fertilizer Sdn. Bhd (MNFSB) berjaya menghantar sebanyak 10,500 tan metrik baja padi sebatian tambahan bagi Musim 1 ke kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam tempoh 10 hari.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bekalan diagihkan terus kepada 27 Pertubuhan Peladang Kawasan sebagai stokis strategik untuk memastikan input sampai mengikut jadual penanaman.
  • Sebanyak 93 peratus atau 9,778 tan metrik berjaya disalurkan ke peringkat stokis sebelum baki diagihkan sepenuhnya.
  • Kilang MNFSB di Gurun mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan 360,000 tan metrik, memastikan keterjaminan bekalan agromakanan negara.
  • NAFAS tekankan kualiti produk dan ketepatan masa, serta menghargai kerjasama MADA, 27 PPK, rakan logistik dan warga kerja.

Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin berkata penyaluran berskala besar ini diagihkan terus kepada 27 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA selaku stokis strategik bagi menjamin input pertanian sampai ke tangan pesawah mengikut jadual penanaman yang kritikal.

Menurutnya, operasi bersepadu ini digerakkan serta-merta sejurus menerima arahan pembekalan pada 3 September lalu.

“Melalui penjajaran logistik tanpa henti, sebanyak 93 peratus atau 9,778 tan metrik (bersamaan 391,116 beg) berjaya disalurkan ke peringkat stokis setakat petang semalam (11 September), sebelum baki keseluruhan 10,500 tan metrik selesai diagihkan sepenuhnya tengah tadi,” katanya.

Jelas beliau, kepantasan pelaksanaan ini membuktikan kesiapsiagaan ekosistem NAFAS dalam bertindak balas terhadap keperluan mendesak di peringkat ladang.

“Bagi NAFAS, 10,500 tan metrik dalam tempoh 10 hari adalah amanah untuk kebajikan pesawah. Ini membuktikan apabila rantaian NAFAS, MNFSB, MADA dan rangkaian 27 PPK bergerak serentak, kita mampu merungkai permasalahan demi membela kepentingan pesawah. Ukuran sebenar operasi kami adalah kualiti produk dan ketepatan masa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau menambah, keupayaan operasi ini disokong oleh MNFSB di Gurun yang memiliki kapasiti pengeluaran tahunan mencecah 360,000 tan metrik.

“Sebagai aset strategik NAFAS, kilang ini memastikan keterjaminan bekalan input agromakanan negara kekal mampan dan responsif.

NAFAS merakamkan penghargaan kepada pengurusan MADA, 27 PPK, rakan logistik serta warga kerja NAFAS dan MNFSB yang komited menggerakkan rantaian bekalan ini sehingga selesai,” jelas kenyataan itu lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.