Lebih 900 bekas atlet Selangor bakal terima manfaat program LAS

Pengerusi YPPK, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed

SUBANG JAYA, 12 September – Lebih 900 bekas atlet Selangor berpeluang menerima bantuan dalam aspek kerjaya, kemahiran, pendidikan serta ganjaran sebagai penghargaan atas sumbangan mereka mengharumkan nama negeri dan negara sepanjang bergelar atlet.

RINGKASAN BERITA AI
  • YPPK melalui Program Legasi Atlet Selangor menawarkan bantuan seperti saluran cepat kesihatan, perumahan mampu milik serta sokongan dokumentasi dan rangkaian.
  • Program penting untuk memberi pendedahan kepada generasi muda tentang sumbangan dan pencapaian bekas ikon sukan negara.
  • Edisi ketiga Program LAS mengangkat konsep Jelajah Road Show menziarahi sembilan daerah menggunakan kenderaan klasik.
  • Program menjadi platform bekas atlet berkongsi karya, memperkenalkan jenama serta menjalin hubungan, disertai tokoh sukan terkenal.

Pengerusi Yayasan Pemerkasaan Pendidikan & Kemahiran (YPPK), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi program Legasi Atlet Selangor (LAS) bersempena sambutan Hari Malaysia Ke-63, khusus bagi memberi ganjaran dan faedah kepada bekas atlet, terutama yang berasal dari Selangor.

“Ia merupakan sebuah yayasan yang bertujuan memberikan bantuan seperti ‘fast lane’ sektor kesihatan, tawaran perumahan mampu milik dan banyak bantuan lain.

“Kami akan bantu menyediakan saluran seperti dokumentasi, pemilihan serta rangkaian yang luas kepada ahli-ahli yang mendaftar,” katanya.

Menurut beliau, program seumpama itu juga penting dalam memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai sumbangan serta pencapaian bekas ikon sukan negara.

Program LAS itu merupakan edisi ketiga penganjurannya, dengan tema tahun ini membawa konsep unik ‘Jelajah Road Show’ menerusi penjelajahan bekas atlet ke sembilan daerah di Selangor menggunakan kenderaan klasik.

Jelajah berkenaan merupakan antara usaha YPPK untuk menghimpunkan lebih ramai bekas atlet dari Selangor, selain mengumpul data bagi meluaskan jaringan bantuan kepada mereka.

Selain itu, program tersebut turut menjadi platform kepada bekas atlet untuk berkongsi karya dan memperkenalkan jenama masing-masing kepada masyarakat.

Datuk K. Rajagopal

Antara yang mengambil peluang itu ialah bekas ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagopal, yang memperkenalkan buku autobiografinya berjudul ‘Inilah Saya’.

Buku itu memaparkan perjalanan serta pengalaman beliau sepanjang berkecimpung dalam dunia bola sepak, termasuk cabaran dan tekanan yang dihadapi sepanjang kerjayanya.

“Saya ingin beritahu kepada orang di luar sana bahawa tujuan saya menulis buku ini adalah untuk berkongsi perjalanan saya serta penceritaan dalam menghadapi cabaran, perwatakan dan kaedah dalam menghadapi situasi yang penuh tekanan,” katanya.

Turut hadir dalam sesi temu mesra program berkenaan ialah bekas pemain badminton negara, Datuk Foo Kok Keong; bekas atlet taekwondo negara, S. Sarawanan; serta 15 lagi bekas atlet ternama daripada sukan badminton, taekwondo, olahraga, skuasy, lumba kerusi roda, tenis kerusi roda dan boling padang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.