KPDN pantau harga, lindungi pelancong menerusi Program PATUH

Foto BERNAMA

REMBAU, 12 September – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi tumpuan kepada 16 kawasan tumpuan pelancong di seluruh negara menerusi Program Zon Tumpuan Pelancong PATUH (ZTPP) bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang, khususnya berkaitan harga dan urus niaga.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPDN akan ambil tindakan terhadap aduan harga tinggi untuk menjaga imej destinasi pelancongan.
  • Program PATUH wujudkan budaya perniagaan beretika serta elak timbangan tidak mencukupi dan amalan merugikan pelancong.
  • Program diperluas ke 75 pasar di seluruh negara, melibatkan 162 peniaga termasuk tiga pasar di Negeri Sembilan.
  • Peniaga diberi tanda harga PATUH dan kaunter semak timbang layan diri disediakan; orang ramai digalakkan buat aduan melalui saluran rasmi.

Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Pencegahan), Bahagian Penguat Kuasa KPDN, Aris Mamat berkata, 16 kawasan itu dipilih sebagai projek rintis ZTPP tahun ini, termasuk Wet World Pedas di Negeri Sembilan, Putrajaya serta kawasan pelancongan di Melaka dan Johor.

“Kita memang menerima aduan mengenai harga barang yang tinggi dan tindakan akan diambil.

“Kita tidak mahu perkara itu menjejaskan imej kawasan tumpuan pelancong kerana sekiranya seorang pelancong dikenakan harga yang terlalu mahal, mereka akan berkongsi perkara itu dengan rakan-rakan,” katanya.

Aris Mamat berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Program PATUH 2026 peringkat Negeri Sembilan di Wet World Pedas.

Beliau menjelaskan, langkah berkenaan penting bagi mewujudkan budaya perniagaan beretika, selain memastikan pelancong tidak berdepan harga tidak munasabah, timbangan tidak mencukupi atau amalan perniagaan yang boleh menjejaskan imej destinasi pelancongan.

Dalam perkembangan sama, Program PATUH turut diperluas ke 75 pasar di seluruh negara, termasuk tiga pasar awam di Negeri Sembilan iaitu Pasar Ampangan, Pasar Lukut dan Pasar Kuala Pilah, membabitkan 162 peniaga.

Peniaga dibekalkan tanda harga PATUH, manakala kaunter semak dan timbang layan diri turut disediakan bagi membantu pengguna.

Orang ramai digalakkan menyalurkan aduan menerusi WhatsApp 019-8488000, aplikasi EZ ADU KPDN, Pusat Panggilan 1-800-886-800, portal e-Aduan KPDN atau imbasan kod QR.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.