
KUALA LUMPUR, 12 September – Kerajaan akan memperkukuh penyelarasan antara agensi kerajaan dan penggiat industri bagi memastikan usaha menangani jenayah scam dan penipuan dilaksanakan dengan lebih pantas serta proaktif.
- Mekanisme penyelarasan diterajui SKMM diperkukuh; penglibatan agensi seperti BNM dan PDRM diketatkan untuk tindak balas lebih pantas.
- Portal Anti-Penipuan Kebangsaan dicadang diperluaskan kepada lebih banyak pihak dan sumber data termasuk syarikat telekomunikasi untuk kongsi maklumat pantas.
- Keupayaan risikan NSRC dipertingkat; peranan dan tempoh tindak balas bank, telekom dan platform diperjelas, selain peningkatan literasi kewangan Belanjawan 2027.
Usaha itu diperkemas menerusi Mesyuarat Penyelarasan Memperkukuh Ketahanan Nasional Menangani Scam dan Penipuan yang berlangsung pada 9 September lalu dipengerusikan bersama oleh Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong dan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching
Menerusi kenyataan, Liew berkata pendekatan menangani scam perlu melibatkan keseluruhan ekosistem berikutan jenayah berkenaan semakin kompleks dan pantas, termasuk menerusi penggunaan teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI).
”Sehubungan itu, mekanisme penyelarasan sedia ada yang diterajui SKMM akan terus diperkukuh dengan penglibatan agensi berkaitan termasuk BNM dan PDRM.
”Selain itu, penggunaan data serta definisi yang seragam turut diberi perhatian, dengan Portal Anti-Penipuan Kebangsaan (NFP) dicadang diperluaskan kepada lebih banyak pihak dan sumber data, termasuk syarikat telekomunikasi,” jelas beliau.
Langkah itu bagi membolehkan maklumat berkaitan scam dikongsi dengan lebih pantas, sekali gus mempercepat tindakan terhadap ancaman yang dikenal pasti.
Pada masa sama, keupayaan risikan dan analisis proaktif menerusi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) akan diperkukuh bagi mengenal pasti trend serta ancaman scam pada peringkat lebih awal.
Kerajaan turut menekankan keperluan memperjelas peranan dan tempoh tindak balas bank, syarikat telekomunikasi, platform digital serta pihak berkaitan memandangkan jenayah scam lazimnya bermula melalui media sosial, platform digital dan rangkaian telekomunikasi sebelum melibatkan sistem perbankan.
Mekanisme perkongsian maklumat dan tindakan pantas, termasuk menyekat atau menurunkan kandungan berkaitan scam, juga perlu diperkukuh.
Mesyuarat anjuran Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) itu turut melibatkan wakil Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Dalam pada itu, beliau menegaskan usaha memperkukuh literasi kewangan, kesedaran awam dan ketahanan rakyat terhadap jenayah scam dan penipuan akan turut diberi perhatian dalam Belanjawan 2027.