
KUALA LUMPUR, 12 September – Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam julat yang terhad minggu depan, dengan jangkaan kadar faedah yang lebih tinggi berkemungkinan mengehadkan potensi kenaikan harga logam berharga itu.
- Persekitaran kadar faedah yang meningkat menyokong dolar AS dan memberi tekanan kepada permintaan emas, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat.
- Kebimbangan mengenai peningkatan hasil bon jangka panjang dan hutang kerajaan tinggi boleh menyokong permintaan emas sebagai aset selamat jangka sederhana hingga panjang.
- Pasaran menumpu kepada keputusan kadar faedah Rizab Persekutuan AS dan unjuran ekonomi; harga emas dijangka sekitar US$4,300 hingga US$4,350 minggu depan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peningkatan persekitaran kadar faedah boleh menyokong dolar Amerika Syarikat (AS), sekali gus memberi tekanan terhadap permintaan emas.
“Bagaimanapun, selain faktor kadar faedah, kebimbangan struktur dalam pasaran bon, terutamanya peningkatan hasil bon jangka panjang di tengah-tengah paras hutang kerajaan yang tinggi, boleh menyokong permintaan terhadap emas sebagai aset selamat bagi tempoh sederhana hingga jangka panjang.
“Peningkatan dalam hasil bon jangka panjang merentasi ekonomi maju berlaku pada paras hutang kerajaan di ekonomi utama, termasuk AS, United Kingdom dan Jepun terus kekal tinggi,” katanya kepada Bernama.
Dalam tempoh terdekat, Mohd Afzanizam berkata tumpuan pasaran akan terarah kepada keputusan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS, selain unjuran ekonomi terkininya bagi keluaran dalam negara kadar (KDNK), inflasi, pengangguran dan kadar dana persekutuan.
“Kami menjangkakan harga emas semasa akan berlegar antara US$4,300 dan US$4,350 setiap auns troy minggu depan, memandangkan jangkaan kenaikan kadar faedah berkemungkinan mengehadkan potensi kenaikan harga emas,” katanya.
Bagi asas mingguan, kontrak September 2026 susut kepada US$4,353.50 setiap auns troy daripada US$4,477.50, kontrak Oktober 2026 merosot kepada US$4,368.70 setiap auns troy daripada US$4,491.30, dan November 2026 baharu berada pada US$4,384.00 setiap auns troy.
Sementara itu, kontrak Disember 2026, Februari 2027 dan April 2027 semuanya susut kepada US$4,391.80 setiap auns troy daripada US$4,517.50 sebelumnya.
Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 413 lot daripada 881 lot seminggu yang lalu, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 469 kontrak daripada 357 kontrak.
Harga emas fizikal ditetapkan pada US$4,365.45 setiap auns troy pada penetapan London Bullion Market Association pada 10 September 2026. -BERNAMA