
PEKAN, 12 September – Lebih 10,000 penduduk Kampung Nenasi, Mukim Bebar di sini menerima manfaat Program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Jabatan Imigresen Malaysia 2026 yang melibatkan peruntukan RM700,000.
- Peruntukan dibahagikan: RM500,000 untuk pembangunan kampung, RM100,000 untuk sekolah, RM100,000 untuk inisiatif TVET.
- Kerjasama TVET dengan Kolej Komuniti Rompin untuk pemasangan dan penyelenggaraan penghawa dingin, kerja pendawaian elektrik serta pemasangan CCTV.
- Projek fizikal termasuk naik taraf masjid, kemudahan balai raya dan fasiliti sukan seperti gelanggang futsal.
- Fokus pada pendidikan dan sahsiah generasi muda melalui Program Tuisyen MADANI; kebanyakan projek hampir siap.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata peruntukan itu disalurkan bagi pembangunan infrastruktur, pendidikan, sosial dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Daripada jumlah berkenaan, RM500,000 diperuntukkan untuk pembangunan Kampung Nenasi, RM100,000 bagi Sekolah Kebangsaan Nenasi dan RM100,000 lagi untuk inisiatif Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Jadi program ini belanjanya adalah RM500,000 campur RM100,000 campur RM100,000, menjadikan jumlahnya RM700,000. Siapa yang dapat? Masyarakat setempat.
“Ada yang naik taraf masjid, ada yang tingkatkan kemudahan balai raya, kemudahan sukan, futsal, macam di kampung ini. Sekolah juga menerima RM100,000 kerana ada pengisian TVET.
Program itu turut diperkukuh menerusi kerjasama TVET bersama Kolej Komuniti Rompin, antaranya pemasangan dan penyelenggaraan penghawa dingin domestik, kerja pendawaian elektrik serta pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi terpilih.
Selain pembangunan fizikal, pembangunan pendidikan dan sahsiah generasi muda turut diberi perhatian menerusi Program Tuisyen MADANI.
Beliau berkata hampir kesemua projek yang dirancang telah siap, manakala sebahagian kecil masih dalam peringkat akhir pelaksanaan.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Peluncuran Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI Jabatan Imigresen Malaysia 2026 di Sekolah Kebangsaan Nenasi di sini.
Program berkenaan kini memasuki tahun ketiga, dengan Kementerian Dalam Negeri mempunyai 33 Kampung Angkat MADANI dan 33 Sekolah Angkat MADANI.