
KUALA LUMPUR, 12 September – Warga Polis Kuala Lumpur diseru sentiasa peka terhadap landskap keselamatan yang semakin kompleks susulan perkembangan bentuk jenayah dan penggunaan teknologi yang semakin canggih.
- Jabatan dan daerah tidak boleh berpuas hati; perlu menilai keberkesanan strategi serta kenal pasti kelemahan.
- Utamakan kepantasan, ketepatan, profesionalisme dan keberkesanan dalam setiap pelaksanaan tugas.
- Manfaatkan teknologi, analisis data dan perkongsian maklumat untuk tingkatkan pencegahan serta pembanterasan jenayah.
- Perkukuh kerjasama antara jabatan dan esprit de corps bagi memastikan PDRM terus dihormati.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, jangkaan masyarakat terhadap perkhidmatan kepolisan semakin tinggi, dengan itu setiap jabatan dan daerah bawah Kontinjen Kuala Lumpur tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian sedia ada.
“Bentuk jenayah semakin berkembang, teknologi semakin canggih dan jangkaan masyarakat terhadap perkhidmatan kepolisian juga semakin tinggi.
“Sehubungan itu, kita tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian sedia ada,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur bagi September 2026 dan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Cawangan Khas Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di ibu negara.
Dalam pada itu, setiap jabatan dan daerah perlu menilai keberkesanan strategi, mengenal pasti kelemahan dan memperkukuh aspek bagi mempamerkan hasil terbaik.
“Dalam melaksanakan tugas, kita hendaklah mengutamakan aspek kepantasan, ketepatan, profesionalisme dan keberkesanan.
“Penggunaan teknologi, analisis data dan perkongsian maklumat perlu dimanfaatkan secara optimum bagi meningkatkan keupayaan pasukan dalam mencegah dan membanteras jenayah,” katanya.
Pada masa saam beliau turut menyampaikan amanat Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail yang menekankan kepentingan kerjasama antara jabatan dalam membanteras jenayah.
Amanat itu menyeru seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkukuh esprit de corps (semangat berpasukan) bagi memastikan badan penguatkuasaan itu terus dihormati.
Dalam amanat sama, Ketua Polis Negara turut memetik pencapaian Malaysia dalam Global Peace Index 2026 yang naik dari tangga ke-13 (2025) kepada tangga ke-12 dunia, sekali gus meletakkan Malaysia antara negara paling selamat dan aman.
Perhimpunan bulanan tersebut disertai kira-kira 1,000 anggota polis daripada seluruh cawangan di Kuala Lumpur.
Perhimpunan itu turut menyaksikan sesi serah tugas dan penghargaan khas kepada bekas Ketua Cawangan Khas Polis Kuala Lumpur, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) Datuk Zulkifli Arin yang menamatkan perkhidmatan selepas 39 tahun berbakti kepada PDRM.