
NEW DELHI, 11 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di New Delhi, India bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 yang akan berlangsung dua hari bermula 12 September.
Pesawat yang membawa Perdana Menteri dan delegasi mendarat di Air Force Station (AFC) Palam, New Delhi pada pukul 6.30 petang waktu tempatan.
Ketibaan Datuk Seri Anwar disambut oleh Menteri Negara India bagi Hal Ehwal Luar dan Alam Sekitar, Hutan serta Perubahan Iklim, Kirti Vardhan Singh.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Hal Ehwal Pelbagai Hala Kementerian Luar Negeri, Datuk Dr. Ahmad Faisal Muhamad.
Lawatan Kerja berkenaan turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.
Penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS adalah selaku Negara Rakan BRICS.
Malaysia secara rasmi menjadi Negara Rakan BRICS pada 1 Januari tahun lepas.
Selepas Sidang Kemuncak BRICS, Perdana Menteri dijadual meneruskan lawatan kerja ke India dengan berkunjung ke Kerala sehingga 14 September.