
KUALA LUMPUR, 11 September – Lapan perkara yang diketengahkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya disifatkan sebagai manifestasi kesedaran parti itu terhadap realiti politik semasa.
- Mengembalikan UMNO sebagai parti induk Melayu melalui sokongan kepada ucapan dasar "Melakar Masa Depan Bangsa".
- Mempertahankan kesucian Islam, institusi Raja-Raja, hak Melayu dan Bumiputera, Bahasa Melayu serta keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
- Membina Tafahum Siyasi dan memperkasakan gagasan Rumah Bangsa untuk mengukuhkan perpaduan parti serta membuka ruang kepada golongan muda.
Wakil UMNO Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kesemua perkara itu perlu dihadapi secara strategik demi kelangsungan perjuangan UMNO.
Beliau berkata perkara pertama ialah menyokong penuh ucapan dasar Ahmad Zahid bertemakan “Melakar Masa Depan Bangsa”, yang meletakkan keutamaan untuk mengembalikan UMNO sebagai parti induk Melayu.
“Kedua, menjadikan prestasi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 di Johor dan Negeri Sembilan sebagai penanda aras parti.
“Ketiga, sentiasa memahami tuntutan dan kehendak semasa bagi memastikan parti terus mendepani arena politik tanah air menerusi pendekatan yang lebih teratur dan tertib,” katanya pada Sesi Pembentangan dan Pembahasan Usul sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.
Fared yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong berkata perkara berkenaan perlu diberi perhatian bagi memastikan masa depan parti lebih terjamin.
Katanya, perkara keempat ialah membina persefahaman politik atau Tafahum Siyasi berasaskan asas yang jelas, selaras dengan hasrat umat Melayu serta menjamin perkongsian dengan pelbagai kaum dan etnik di Malaysia.

Bagi perkara kelima pula ialah mempertahankan kesucian agama Islam, institusi Raja-Raja Melayu, hak dan keistimewaan Melayu dan Bumiputera, Bahasa Melayu, keluhuran Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang sebagai teras kenegaraan yang memelihara keadilan untuk semua kaum.
Beliau berkata perkara keenam ialah menyambut baik usaha memperkasakan gagasan “Rumah Bangsa” bagi mengukuhkan perpaduan dalaman parti serta membuka ruang kepada golongan muda.
“Ketujuh, menggunakan lapan ikhtiar yang menggariskan sasaran jelas sebagai hala tuju way forward Malaysia bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara dan usaha memakmurkan rakyat dinikmati secara saksama.
“Terakhir, menolak sebarang bentuk tekanan politik yang memperalatkan instrumen kerajaan dengan memalitkan sentimen buruk, mengenepikan prinsip kedaulatan undang-undang serta membelakangi prinsip asas undang-undang,” katanya.
Usul berkenaan disokong Ketua UMNO Bahagian Tampin Datuk Mohd Isam Mohd Isa selaku wakil UMNO Negeri Sembilan.
Sesi pembentangan dan pembahasan usul PAU 2026 turut dihadiri Ahmad Zahid serta barisan kepimpinan tertinggi parti.
Sesi perbahasan akan diteruskan esok.