Young Tigers gagal ke final Piala Remaja Asia

Foto FB Malaysian Hockey Confederation

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Hasrat skuad hoki remaja lelaki negara untuk melakar kejutan ke atas juara bertahan India sekali gus mara ke final Piala Remaja Asia 2026 tidak kesampaian selepas tewas 1-3 pada aksi separuh akhir di Moqi, China hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • India membuka jaringan lewat Anmol Ekka (minit ke-6), Sukhvinder dan Anmol menambah gol untuk meletakkan India selesa 3-0.
  • Rahuul Fazrien menjaringkan gol sagu hati pada minit ke-60, tetapi tidak mencukupi untuk mengubah keputusan perlawanan.
  • Malaysia akan beraksi penentuan tempat ketiga Ahad dan sudah meraih tiket ke Piala Dunia Remaja 2027 selepas muncul kedua Kumpulan B.

Skuad Young Tigers hanya memperoleh gol sagu hati menerusi Rahuul Fazrien Muhammad Nazrien pada minit ke-60, namun jaringan lewat itu tidak mampu menghalang India daripada mengesahkan kemaraan ke pentas final.

India, yang tampil dengan reputasi selaku juara tiga edisi terakhir pada 2015, 2023 dan 2024, membuka tirai jaringan menerusi Anmol Ekka seawal minit keenam.

Sukhvinder kemudian menggandakan kelebihan menerusi jaringan padang pada minit ke-51 sebelum Anmol meledak gol keduanya tiga minit kemudian untuk meletakkan India selesa mendahului 3-0.

Rahuul Fazrien kemudian merapatkan jurang pada minit terakhir permainan, namun sudah terlambat untuk Young Tigers mengubah keputusan perlawanan.

Pada aksi final Ahad ini, India akan berdepan pemenang satu lagi perlawanan separuh akhir antara Pakistan dan Korea Selatan yang berlangsung malam ini.

Malaysia, yang pernah menjulang trofi Piala Remaja Asia pada 2012, pula akan beraksi dalam penentuan tempat ketiga menentang pasukan yang tewas dalam pertemuan Pakistan dan Korea Selatan, juga pada Ahad.

Terdahulu, skuad hoki remaja lelaki negara mara ke separuh akhir selepas menamatkan saingan Kumpulan B di tempat kedua, sekali gus meraih tiket ke Piala Dunia Remaja 2027. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.