Sabah terima peruntukan tertinggi IKR lebih RM582 juta

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika mengadakan lawatan rasmi ke Projek Menaik Taraf Jambatan Kayu kepada Jambatan Separa Konkrit di Kampung Kalansanan, Inanam, Kota Kinabalu

KOTA KINABALU, 11 September – Sabah menerima peruntukan tertinggi di seluruh negara bagi projek kecil dan Program Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR), berjumlah RM582.29 juta, untuk pelaksanaan 2,301 projek IKR sejak 2023.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sabah melaksana 985 projek IKR bernilai RM175.24 juta dan 1,316 projek kecil bernilai RM407.05 juta.
  • Bagi 2026, Sabah diperuntukkan RM113.3 juta untuk 481 projek IKR dan projek kecil daripada keseluruhan RM323.8 juta negara.
  • Kementerian Ekonomi menyalurkan RM1.52 bilion bagi pelaksanaan 8,069 projek kecil dan IKR di seluruh negara sejak 2023.
  • Projek menaik taraf jambatan Kampung Kalansanan bernilai RM199,508 siap 13 Januari, tingkatkan keselamatan dan memudahkan pergerakan.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, jumlah itu merangkumi 985 projek IKR bernilai RM175.24 juta dan 1,316 projek kecil berjumlah RM407.05 juta.

Bagi tahun 2026, Sabah menerima sebanyak RM113.3 juta iaitu untuk pelaksanaan 481 projek IKR dan projek kecil daripada keseluruhan peruntukan sebanyak RM323.8 juta untuk seluruh negara.

“Melalui program IKR yang diperkenalkan sejak tahun 2023, lebih kurang sudah 3 tahun dan sehingga setakat ini perbelanjaan yang kita telah letakkan sekitar RM1.56 bilion yang kita agihkan ke seluruh negara melalui proses permohonan bersama agensi ataupun yang lebih penting adalah daripada pengadu rakyat biasa.

“Jadi untuk negeri Sabah dalam program IKR, kita telah menyalurkan RM582.29 iaitu negeri yang tertinggilah yang mendapat manfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan rasmi ke Projek Menaik Taraf Jambatan Kayu kepada Jambatan Separa Konkrit di Kampung Kalansanan, Inanam, Kota Kinabalu.

IKR dilihat sebagai kaedah penyampaian pantas atau ‘quick win’ bagi memastikan peruntukan kerajaan memberi impak secara langsung terhadap kualiti hidup rakyat.

Bagi jambatan Kampung Kalansanan tersebut, permohonan seorang penduduk menerusi sistem IKR membawa kepada penyaluran peruntukan untuk pembinaan titian konkrit yang menghubungkan kawasan penempatan penduduk.

Pendekatan itu turut membolehkan pemohon dan penduduk memainkan peranan dalam memantau pelaksanaan projek yang dicadangkan mereka sendiri.

Projek bernilai RM199,508 itu dilaksanakan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menerusi IKR dan siap pada 13 Januari lalu.

Jambatan sepanjang 200 kaki atau 70 meter dengan lebar enam kaki itu dinaik taraf bagi meningkatkan keselamatan serta memudahkan pergerakan penduduk setempat.

Secara keseluruhan, Kementerian Ekonomi telah menyalurkan RM1.52 bilion bagi pelaksanaan 8,069 projek kecil dan IKR di seluruh negara sejak 2023.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.