
BESERI, 11 September – Rejimen Askar Wataniah kini diiktiraf sebagai aset strategik yang memperkukuh kesiagaan pertahanan negara.
- Raja Muda Perlis berkenan menyempurnakan Perbarisan Ulang Tahun Ke-46 Rejimen 504 Askar Wataniah di Kem Bukit Keteri.
- Baginda turut menyempurnakan pemakaian pangkat Lans Koperal kepada anakanda, Sharifah Farah Adriana, saat sambutan berlangsung.
- Turut hadir Raja Puan Muda Perlis; perbarisan diketuai Timbalan Komander Leftenan Kolonel Mohd Azwan Ariff Mohd Azawi.
Titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, kehadiran Askar Wataniah di seluruh negara bukan sahaja merapatkan hubungan antara tentera dengan rakyat, malah kepakaran profesional mereka dalam sektor siber, logistik, perubatan, kejuruteraan dan teknologi turut bertindak sebagai pengganda kekuatan yang amat signifikan bagi Tentera Darat Malaysia.
Demikian titah Baginda selepas berkenan berangkat menyempurnakan Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen 504 Askar Wataniah (AW) Ke-46 di Kem Bukit Keteri.
Baginda turut berkenan menyempurnakan pemakaian pangkat Lans Koperal kepada anakanda baginda, Sharifah Farah Adriana Jamalullail, yang menjadi antara detik istimewa pada sambutan ulang tahun rejimen berkenaan pada kali ini.
Terdahulu, keberangkatan tiba baginda disambut oleh Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Mohd Azwan Ariff Mohd Azawi yang mengetuai sendiri perbarisan melibatkan seramai sembilan pegawai dan 130 orang lain-lain pangkat.
Turut berangkat pada majlis itu, Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri kedua baginda berdua, Sharifah Farah Adriana.