Langkawi destinasi pelancongan dunia, perlu kekal dengan identiti tersendiri

Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah, merasmikan Hotel Hilton Burau Bay Langkawi, malam tadi./ RTM

LANGKAWI, 11 September – Langkawi perlu terus diperkukuh sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia dengan mengekalkan identiti dan keistimewaannya tersendiri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kekalkan identiti dan keistimewaan Langkawi sebagai tarikan pelancongan bertaraf dunia.
  • Utamakan pemeliharaan alam, warisan dan budaya dalam pembangunan pelancongan yang seimbang.
  • Kehadiran jenama hospitaliti antarabangsa memperkukuh keyakinan terhadap potensi dan masa depan pulau itu.

Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah, Langkawi mempunyai keunikan tersendiri yang perlu diketengahkan bagi memastikan pulau legenda itu terus menjadi pilihan pelancong dari seluruh dunia.

Menurut baginda, Langkawi bukan Phuket dan bukan juga Bali, sebaliknya mempunyai kekuatan tersendiri menerusi keindahan alam semula jadi, warisan dan budaya.

Baginda bertitah, pembangunan sektor pelancongan di Langkawi perlu dilaksanakan secara seimbang dengan usaha memelihara khazanah alam yang menjadi antara tarikan utama pulau berkenaan.

Dalam pada itu, baginda bertitah, kehadiran jenama hospitaliti antarabangsa menerusi pembukaan Hotel Hilton Burau Bay Langkawi mencerminkan keyakinan terhadap potensi dan masa depan pulau itu sebagai destinasi pelancongan berkualiti.

Sultan Sallehuddin bertitah demikian ketika merasmikan Hotel Hilton Burau Bay Langkawi, malam tadi.

Baginda turut menegaskan bahawa Langkawi perlu terus maju dan berkembang tanpa kehilangan identitinya, sebaliknya kekal dikenali dunia atas keunikan yang dimilikinya.

Menurut baginda, kekuatan sebenar Langkawi bukan terletak pada usaha untuk menjadi seperti destinasi pelancongan lain, tetapi pada keupayaannya menampilkan keistimewaan tersendiri sebagai sebuah destinasi yang unik.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.