Houthi tawan Mocha, ancam laluan strategik Laut Merah

Foto AFP

SANAA, 11 September – Kumpulan Huthi pada Khamis merampas kawalan bandar pelabuhan strategik Mocha di Laut Merah, dalam perkembangan terbaharu konflik Yaman yang kembali memuncak susulan perang di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Huthi merampas Pulau Zuqar melalui serangan roket dan serangan darat menggunakan bot membawa pejuang.
  • Penguasaan kawasan pantai meningkatkan keupayaan Huthi menekan pihak lawan melalui kawalan laluan maritim, kata pakar Andreas Krieg.
  • Arab Saudi melancarkan puluhan serangan udara; Huthi dakwa 64 serangan, manakala saluran Huthi lapor 10 serangan di Taiz.
  • Pertempuran menyebabkan lebih 500 terbunuh dan hampir 20,000 dipindahkan, menurut AFP dan IOM.

Sumber tentera Yaman berkata Houthi, yang disokong Iran, mara ke arah Selat Bab al-Mandab selepas menguasai Mocha, selain merampas Pulau Zuqar di selatan Laut Merah.

Menurut sumber itu, penguasaan Pulau Zuqar berlaku selepas serangan roket dan serangan darat menggunakan bot yang membawa anggota pejuang.

Mocha penting dari sudut strategik kerana kedudukannya berhampiran Selat Bab al-Mandab, laluan perkapalan yang menghubungkan Asia dengan Eropah menerusi Laut Merah dan Terusan Suez.

Pakar keselamatan King’s College London, Andreas Krieg, berkata penguasaan kawasan pantai akan meningkatkan keupayaan Huthi menggunakan laluan maritim sebagai tekanan terhadap pihak lawan.

Sebelum ini, Huthi menguasai sebahagian besar wilayah utara Yaman, termasuk ibu negara, Sanaa serta bandar pelabuhan utama Hodeidah di Laut Merah.

Namun, kumpulan itu belum menguasai kawasan yang menghadap ke Selat Bab al-Mandab.

Ketua Majlis Kepimpinan Presiden Yaman yang diiktiraf antarabangsa, Rashad al-Alimi, berkata perlindungan pantai negara itu dan pemulihan kawalan kerajaan ke atas kawasan berkenaan merupakan kepentingan Arab dan antarabangsa.

Sementara itu, Tarek Saleh, yang mengetuai Pasukan Penentangan Nasional Yaman yang sebelum ini mengawal Mocha, berkata beliau telah memindahkan pusat pemerintahannya ke lokasi selamat bagi menyusun semula pasukannya.

Perkembangan itu turut menyebabkan penduduk melarikan diri dari Mocha serta kawasan berhampiran Khokha dan Hays ke Aden, lokasi kerajaan yang diiktiraf antarabangsa.

Dalam tempoh 24 jam yang sama, Arab Saudi melancarkan puluhan serangan udara ke atas Yaman, menurut jurucakap tentera Huthi, Yahya Saree, yang mendakwa sebanyak 64 serangan dilancarkan.

Saluran televisyen Huthi, Al-Masirah, melaporkan 10 serangan berlaku di wilayah Taiz di barat Yaman.

Huthi turut melancarkan serangan ke atas wilayah Arab Saudi yang menyebabkan puluhan orang cedera, ketika pertempuran antara kumpulan itu dan pasukan kerajaan Yaman yang disokong Riyadh kembali tercetus.

Pertempuran sejak minggu lalu telah mengorbankan lebih 500 orang,kebanyakannya anggota pejuang, berdasarkan kiraan AFP yang dihimpunkan daripada beberapa sumber, manakala hampir 20,000 orang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing, menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM).

Pada Rabu, gabungan diketuai Arab Saudi berkata kumpulan pejuang itu melancarkan peluru berpandu balistik dan dron ke arah beberapa bandar di selatan Arab Saudi.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat pada Khamis bagi membincangkan konflik berkenaan.

Utusan khas PBB bagi Yaman, Hans Grundberg, menggesa semua anggota majlis itu mengambil tindakan aktif bagi membendung konflik yang disifatkannya berpotensi menjadi permulaan kepada konflik jauh lebih berbahaya.

Mesyuarat tergempar itu diminta United Kingdom yang menggesa Majlis Keselamatan menghantar mesej jelas dan konsisten supaya Huthi mengurangkan ketegangan, menghentikan serangan serta kembali ke landasan keamanan.

Konflik terbaharu tercetus pada Julai selepas Houthi membenarkan sebuah pesawat Iran mendarat di Yaman tanpa mematuhi kawalan Arab Saudi terhadap ruang udara negara itu.

Pertempuran terbaharu itu menimbulkan kebimbangan Yaman akan kembali terjerumus ke dalam konflik berskala besar yang sebelum ini mengorbankan ratusan ribu nyawa dan mencetuskan antara krisis kemanusiaan terburuk di dunia.

Huthi menawan ibu negara Sanaa dan menggulingkan kerajaan pada 2014, sebelum berperang dengan gabungan diketuai Arab Saudi mulai 2015 sehingga gencatan senjata yang ditaja PBB pada 2022. — AFP.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.