
MADRID, 11 September – Pelumba Formula Satu (F1) menjangkakan perlumbaan Grand Prix (GP) Sepanyol hujung minggu ini bakal menyaksikan kemalangan dan kekecohan apabila saingan buat kali pertama berlangsung di litar baharu Circuito de Madring.
- Pierre Gasly yakin perlumbaan akan diganggu bendera merah dan sanggup pertaruhkan wang untuk itu.
- Pelumba lain menyifatkan litar baru sangat mencabar dan tidak memberi banyak ruang untuk kesilapan.
- Sergio Perez panggil litar menggerunkan dan bandingkannya dengan Litar Jeddah; permukaan kurang cengkaman tambah risiko.
- Perlumbaan Formula 3 Ogos lalu catat tiga jentera rosak teruk dan 19 kali perlumbaan dihentikan dengan bendera merah.
Pelumba Alpine, Pierre Gasly, malah yakin bendera merah akan dikibarkan dalam perlumbaan yang berlangsung di litar hibrid sepanjang 5.416 kilometer itu.
“Saya sanggup mempertaruhkan wang untuk bendera merah. Itu pasti,” katanya, yang meraih petak pertama sulungnya pada GP Itali di Monza, minggu lalu.
Litar yang dibina dengan kos lebih 83 juta euro (RM402 juta) itu ditinjau kebanyakan pelumba pada Khamis, dengan mereka menyifatkannya sebagai mencabar dan tidak memberi banyak ruang untuk melakukan kesilapan.
Rakan sepasukan Gasly, Franco Colapinto berkata, litar berkenaan mempunyai gabungan pelbagai ciri dan bakal menjadi cabaran besar kepada semua pelumba.
Disyorkan
“Litar ini akan sangat sukar untuk semua pelumba. Di simulator, untuk melengkapkan satu pusingan dengan sempurna boleh mengambil masa berjam-jam.
“Ia mempunyai sedikit daripada segala-galanya. Jika semua yang terdapat dalam 24 perlumbaan dalam kalendar dicampurkan, anda mungkin mendapat sesuatu seperti litar ini,” katanya.
Sementara itu, pelumba Cadillac, Sergio Perez menyifatkan litar berkenaan sebagai menggerunkan, namun pada masa sama teruja untuk beraksi di situ.
Pelumba Mexico berusia 36 tahun itu berkata, litar tersebut mengingatkannya kepada Litar Jeddah yang pantas dan mencabar, selain menjangkakan suasana perlumbaan yang hebat.
Beliau turut memberi amaran bahawa permukaan litar yang mempunyai tahap cengkaman rendah boleh menjadikannya lebih sukar dan tidak memberi ruang untuk kesilapan.
Litar berkenaan sebelum ini menjadi lokasi hari penggambaran Ferrari pada Julai ketika cuaca panas, sebelum kerja pembinaannya disiapkan sepenuhnya.
Pada Ogos, litar itu turut menganjurkan perlumbaan Formula 3 yang menyaksikan tiga jentera rosak teruk serta 19 kali perlumbaan dihentikan dengan bendera merah.-AFP