Nahas helikopter: Hasrat Dr Ainul jadi doktor pakar tidak kesampaian – Suami

Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33 tahun

MIRI, 10 September- Hasrat Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, untuk menyambung pengajian sebagai doktor pakar tidak kesampaian selepas beliau terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak pada Selasa lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suami berkata Allahyarham lulus ujian pertama untuk melanjutkan pengajian pakar, cuma perlu membuat permohonan.
  • Dia datang ke Sarawak kerana tempat penempatan di Semenanjung penuh, memilih negeri ini kerana suami bertugas.
  • Suami mengenang dia pendiam, ceria dan sentiasa profesional ketika bertugas, tiada perubahan ketara sebelum tragedi.
  • Helikopter BO-105 terhempas berhampiran Long Lellang STOLport, lima mangsa termasuk juruterbang, pegawai perubatan dan dua jururawat terkorban.

Suaminya, Mohd Faiz Ab Malek berkata allahyarham telah mengambil ujian pertama untuk melanjutkan pengajian dan lulus, sebelum perlu membuat permohonan bagi pengajian berkenaan.

“Sebenarnya dia datang ke Sarawak ini sebab saya bertugas (guru) di sini. Ketika itu, permohonan (penempatan pegawai perubatan) di Semenanjung sudah penuh dan hanya ada kekosongan di Sabah dan Sarawak. Jadi, dia memilih Sarawak.

“Kami berdua memang ada rancangan untuk berpindah bersama. Dia juga berhasrat untuk menyambung pengajian sebagai doktor pakar. Dia sudah mengambil ujian pertama dan lulus, cuma perlu membuat permohonan,” katanya ketika dihubungi RTM hari ini.

Mohd Faiz turut menyifatkan allahyarham sebagai seorang yang pendiam, ceria dan sentiasa profesional ketika menjalankan tugas sebagai doktor.

Beliau berkata allahyarham tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara sebelum tragedi berkenaan.

Katanya, kepulangan mereka bercuti ke kampung halaman di Pangkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan minggu lalu kini menjadi kenangan terakhir bersama isterinya.

Tambah Mohd Faiz, beliau yang telah berkhidmat selama 13 tahun di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Sebatu, Subis, kini memberi tumpuan kepada urusan pengebumian isterinya.

Dalam kejadian Selasa lalu, sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang dilaporkan terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport) pada sekitar pukul 3.58 petang.

Mangsa yang terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.