
PUTRAJAYA, 10 September – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memohon kerjasama Jabatan Penjara Malaysia bagi membolehkan keterangan bekas Pengerusi FELDA yang kini menjalani hukuman penjara dirakam, bagi membantu siasatan berkaitan aset dan pelaburan FELDA Investment Corporation (FIC).
- SPRM menjalankan jejak kewangan untuk mengenal pasti penerima rasuah dalam kalangan pegawai FELDA dan pegawai FIC berkaitan pembelian aset dan pelaburan.
- Tujuh kertas siasatan dibuka di bawah Op Fella; 29 keterangan saksi telah dirakam melibatkan Lembaga Pengarah, pengurusan, agensi kerajaan dan swasta.
- Dua suspek ditahan, termasuk bekas Pengarah Besar FELDA dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif FIC; siasatan merangkumi pembelian Sarawak dan hotel luar negara.
Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, permohonan itu dijangka dibuat minggu depan mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Kami akan merakamkan percakapan saksi-saksi utama lain, terutamanya bekas pengerusi FELDA. Yang mana kita sedia maklum, bekas pengerusi FELDA sedang menjalani hukuman penjara.
“Kami akan cuba mendapatkan kerjasama daripada pihak penjara bagi tujuan rakaman kenyataan terhadap individu yang dinyatakan itu,” katanya.
Beliau berkata rakaman keterangan bekas Pengerusi FELDA itu diperlukan berikutan terdapat unsur kaitan dengan pembelian aset dan pelaburan yang dilakukan FIC.
“Ia perlu dilakukan kerana terdapat unsur-unsur mengatakan terdapatnya kaitan berkenaan dengan pembelian aset dan pelaburan yang dilakukan oleh FELDA Investment Corporation.
“Pihak kami juga sedang menjalankan jejak kewangan ataupun money trail bagi mengenal pasti sama ada terdapatnya sebarang penerima rasuah oleh pegawai FELDA sendiri, mahupun pegawai-pegawai FIC berkaitan dengan pembelian aset dan pelaburan FIC tersebut,” katanya selepas sesi wawancara di Ibu Pejabat SPRM hari ini.
Beliau berkata setakat ini tujuh kertas siasatan telah dibuka berkaitan Op Fella, manakala keterangan 29 saksi sudah dirakam bagi membantu siasatan berhubung isu pelaburan aset FELDA dan FIC yang dipercayai mempunyai unsur rasuah.
Katanya, saksi yang dipanggil termasuk bekas ahli Lembaga Pengarah FELDA dan FIC, pengurusan kedua-dua entiti berkenaan serta individu daripada agensi kerajaan dan pihak swasta.
“Antara dipanggil adalah bekas ahli Lembaga Pengarah FELDA, bekas ahli Lembaga Pengarah FIC, pengurusan FELDA dan FIC serta agensi lain seperti pihak tanah, penilaian bebas, firma guaman dan sebagainya. Semua saksi ada kaitan antara satu sama lain,” katanya.
Pada 6 September lepas, SPRM menahan dua individu yang mempunyai kaitan dengan siasatan itu iaitu bekas Pengarah Besar FELDA dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif FIC, yang kedua-duanya masih dalam tahanan reman bagi membantu siasatan.
Datuk Seri Abd Halim berkata siasatan turut meliputi dokumen berkaitan pembelian di Sarawak, pembelian hotel di luar negara serta penubuhan anak syarikat FELDA.
Pada 26 Jun lalu, bekas Pengerusi FELDA itu kekal menjalani hukuman penjara enam tahun dan didenda RM15.45 juta selepas didapati bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3.09 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, 12 tahun lalu.
Pada 2018, tokoh politik berkenaan didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3.09 juta sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian MPHS pada harga RM160 juta oleh FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).
Dalam perkembangan berkaitan, SPRM turut menyiasat dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa di FELDA Palong 7, Negeri Sembilan.
Beliau berkata lapan keterangan telah dirakam setakat ini, membabitkan lima saksi daripada FELDA dan tiga pembekal.
“SPRM sedang mendapatkan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk mengesahkan spesifikasi anak benih yang dibekalkan,” katanya.