Irfan tebus kekecewaan 2024 dengan emas dan rekod kebangsaan

Muhammad Irfan Zikry Armanshah bersama rakan sepasukannya dalam kuartet Selangor mencatat masa 4 minit 20.93 saat (s), mengungguli final acara 4×100 meter Gaya Bebas S14 Campuran./ RTM

SHAH ALAM, 9 Sept – Kekecewaan selepas dibatalkan penyertaan pada Para SUKMA 2024 di Sarawak akhirnya terubat apabila perenang para Selangor, Muhammad Irfan Zikry Armanshah, bangkit dengan aksi cemerlang meraih pingat emas serta memperbaharui rekod kebangsaan di Pusat Akuatik Selangor, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kuartet Selangor menang final 4x100m Gaya Bebas S14 Campuran catatan 4:20.93, mengatasi Wilayah Persekutuan dan Sabah.
  • Kejayaan itu menghadiahkan emas pertama Irfan di Para SUKMA; beliau kelihatan sebak selepas perlumbaan.
  • Latihan intensif dan disiplin tinggi dipuji; Irfan sasar beraksi di Para ASEAN, Paralimpik, dan kembali bertanding esok.

Irfan, 18, bersama rakan sepasukannya dalam kuartet Selangor mencatat masa 4 minit 20.93 saat (s), mengungguli final acara 4×100 meter Gaya Bebas S14 Campuran, sekali gus menamatkan saingan di hadapan Wilayah Persekutuan yang merekodkan 4 minit 31.80s, manakala Sabah ketiga dengan 4 minit 57.12s.

Lebih manis, kejayaan itu menghadiahkan emas pertama Irfan dalam penampilan Para SUKMA, selepas pengalaman mengecewakan yang dilaluinya pada edisi 2024.

“Saya sangat-sangat gembira sebab dapat kalahkan negeri-negeri lain. Di SUKMA 2024 Sarawak, saya pernah menang tapi kena ‘disqualified’. Hari ini saya buktikan untuk Selangor yang saya boleh buat,” katanya yang kelihatan sebak selepas perlumbaan.

Menurut Irfan, pencapaian itu hasil daripada persiapan rapi dan latihan intensif bersama pasukan para Selangor yang menuntut komitmen serta disiplin tinggi daripada setiap atlet.

“Latihan kami memang kuat gila untuk Para SUKMA kali ini. Kami memang nak buktikan kepada Selangor yang atlet para mampu capai sasaran medal,” katanya.

Kejayaan di laman sendiri itu turut menyemarakkan impian Irfan untuk melangkah lebih jauh dalam kariernya, termasuk memburu peluang beraksi di pentas Para ASEAN dan seterusnya Paralimpik.

Irfan, yang bakal menamatkan pengajian tahun hadapan pada usia 19 tahun, akan kembali beraksi esok menerusi final 4x100m Rampaian S14 Lelaki pada pada 11.15 pagi di venue sama.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.