
KLANG, 9 September– Seramai 210 individu diperiksa dan 197 warga asing ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor di dua lokasi berasingan sekitar Pelabuhan Klang hari ini.
- Operasi serbuan menyasarkan kilang bateri motosikal dan gudang di Kawasan Perindustrian Pulau Indah serta Bandar Sultan Suleiman selepas risikan dua minggu.
- Pemeriksaan mengenal pasti kesalahan seperti tiada dokumen pengenalan, melanggar syarat pas dan tinggal melebihi masa di negara ini.
- Majikan diingatkan menggaji pekerja sah, memohon kebenaran untuk pemindahan pekerja dan pemeriksaan lanjut dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Selangor (Kawalan), Mohmad Khusairi Kamarudin berkata operasi berkenaan menyasarkan sebuah kilang bateri motosikal dan gudang penyimpanan di Kawasan Perindustrian Pulau Indah serta Kawasan Perindustrian Bandar Sultan Suleiman.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 147 lelaki dan 50 perempuan berusia antara 20 hingga 45 tahun.
Warga Myanmar mencatat jumlah tahanan tertinggi iaitu 102 orang, diikuti India (77), Bangladesh (9), Sri Lanka (4), Pakistan (3) serta masing-masing seorang dari Indonesia dan kategori lain-lain.
“Kebanyakan daripada mereka kita lihat mempunyai dokumen yang ditetapkan. Namun, siasatan lanjut akan menentukan sama ada mereka melakukan kesalahan seperti tinggal lebih masa atau melanggar syarat pas,” katanya.
Mohmad Khusairi berkata serbuan ke atas kedua-dua premis itu dilakukan selepas JIM Selangor menjalankan risikan selama dua minggu.
Pemeriksaan mendapati antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas serta tinggal lebih masa di negara ini.
Beliau berkata, tiga Borang 29 (Saman kepada Saksi) turut dikeluarkan kepada warganegara Malaysia bagi membantu siasatan berkaitan penggajian pekerja asing.
Mohmad Khusairi turut mengingatkan majikan supaya tidak sewenang-wenangnya memindahkan pekerja asing dari satu premis pekerjaan ke premis lain tanpa mendapatkan kebenaran pihak berkuasa.
“Setiap majikan perlu menggaji pekerja yang sah, memohon pekerja mengikut ketetapan dan memastikan semuanya teratur.
“Pastikan pekerja tidak sesuka hati dipindahkan dari satu premis ke premis yang lain tanpa kebenaran. Contohnya, dari tempat A ke tempat B, perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu,” katanya.
Kesemua tahanan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Operasi bersepadu itu membabitkan 62 pegawai dan anggota terdiri daripada 50 pegawai imigresen, enam pegawai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta dua pegawai Jabatan Tenaga Kerja (JTK).