
KUALA LUMPUR, 9 September – Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi atas pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan jawatan pengerusi di sebuah syarikat serta menyakinkan Ahli Lembaga TH untuk bersetuju meluluskan cadangan pelaburan RM193.5 juta dalam syarikat berkenaan, pada 2014.
- Didakwa menerima suapan bagi jawatan Pengerusi Putrajaya Perdana: imbuhan RM690,000 setahun, kenderaan dan pemandu tetap.
- Didakwa mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif TH mencadangkan namanya sebagai wakil TH dalam Putrajaya Perdana.
- Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009; boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1).
“Faham, kenyataan itu tidak benar sama sekali, saya mohon dibicarakan,”kata tertuduh.
Mengikut pendakwaan, tertuduh yang ketika itu merupakan Pengerusi TH didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berupa jawatan Pengerusi Putrajaya Perdana Berhad dengan imbuhan RM690,000 setahun, selain kemudahan sebuah kenderaan dan seorang pemandu tetap.
Bagi tujuan berkenaan, tertuduh didakwa mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif TH ketika itu, Tan Sri Ismee Ismail mencadangkan namanya sebagai wakil TH dalam Putrajaya Perdana
Berhad.
Tertuduh juga didakwa meyakinkan Ahli Lembaga Pengarah TH agar meluluskan cadangan pelaburan sehingga RM193.5 juta bersamaan sehingga 30 peratus modal saham terbitan sedia ada Putrajaya Perdana Berhad.
Kesalahan didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Lembaga, Tingkat 38, Bangunan TH, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, pada 25 Ogos 2014.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, Law Chin How dan Atirah Mohd Azuarizanuddin, manakala tertuduh diwakili Datuk Amir Hamzah Arshad dan Datuk Abu Bakar Isa Ramat.
Hakim Azura kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM450,000 dengan dua penjamin warganegara tempatan berserta syarat tambahan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur setiap tiga bulan sekali sehingga kes selesai.
11 November ini ditetapkan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.