Polis buru kumpulan samun, mangsa rugi RM2.19 juta

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 8 September – Polis sedang memburu sekumpulan lelaki bertopeng yang dipercayai terlibat dalam kes samun bersenjata di sebuah kondominium mewah di Pavilion Embassy, Jalan Ampang, pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa mengalami kerugian kira-kira RM2.19 juta melibatkan wang tunai, barang kemas, jam tangan mewah dan pasport.
  • Beberapa suspek bersarung tangan dan dipercayai bersenjatakan pisau menceroboh masuk unit sebelum melarikan pelbagai barangan berharga.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397; polis giat mengesan suspek dan meminta orang ramai menghubungi IPD Wangsa Maju atau balai polis.

Dalam kejadian antara jam 2 hingga 3 petang itu, mangsa, seorang lelaki warga China berusia 28 tahun, kerugian kira-kira RM2.19 juta membabitkan wang tunai, barangan kemas, jam tangan mewah dan pasport.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, ACP Annas Sulaiman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 5.31 petang.

Siasatan awal mendapati beberapa suspek bertopeng, bersarung tangan dan bersenjatakan pisau menceroboh masuk ke unit kediaman mangsa sebelum melarikan pelbagai barangan berharga.

Suspek turut merosakkan telefon bimbit mangsa sebelum melarikan diri.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan bersenjata.

Polis kini giat menjalankan usaha mengesan dan menjejaki semua suspek yang terlibat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, Hotline Polis Kuala Lumpur atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.