
PUTRAJAYA , 8 September – Prestasi Matematik murid Malaysia dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025 merosot 11 mata kepada 397 mata berbanding 408 mata pada 2022, meskipun pencapaian dalam Sains dan pembacaan masing-masing menunjukkan peningkatan.
- Prestasi Matematik menurun; KPM perlu tindakan lebih serius dan intensif.
- Pencapaian Sains dan bacaan menunjukkan perkembangan positif yang perlu dihargai.
- KPM melaksanakan Rancangan Transformasi Pendidikan Matematik 10 tahun untuk memperkukuh pemahaman konsep dan penyelesaian masalah.
- Pengajaran perlu beralih dari mencari jawapan kepada memahami proses dan mempertingkat kompetensi guru melalui latihan bersasar.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata peningkatan dalam Sains dan pembacaan merupakan suatu perkembangan positif, namun kemerosotan prestasi Matematik perlu ditangani secara lebih serius dan intensif.
Menurutnya, penurunan prestasi Matematik itu tidak boleh dilihat sekadar sebagai perubahan dalam satu pusingan penilaian, sebaliknya perlu dijadikan petunjuk untuk memperkukuh intervensi dalam pembelajaran mata pelajaran berkenaan.
“Pencapaian Sains anak anak Malaysia meningkat. Pencapaian bacaan juga meningkat ketika purata OECD menunjukkan penurunan ini.
“Kemajuan yang harus kita hargai. Pada masa yang sama ada satu dapatan yang kita tidak boleh dan tidak akan sembunyikan iaitu pencapaian matematik kita menurun.
Dan penurunan bukan satu yang kita boleh lihat sebagai perubahan dalam satu pusingan sahaja, tapi ia harus membuatkan kita melihat masalah itu dengan lebih serius, intensif dan bukan secara defensif”, katanya pada sidang media disini pada Selasa.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah mengambil langkah lebih awal menerusi Rancangan Transformasi Pendidikan Matematik yang dilaksanakan selama 10 tahun, bermula 2026 hingga 2035.
Katanya, rancangan itu memberi tumpuan kepada pemahaman konsep, penaakulan dan penyelesaian masalah, selain meningkatkan kompetensi guru melalui analisis keperluan dan latihan bersasar.
Sementara itu, beliau turut berkata pendekatan pembelajaran Matematik perlu beralih daripada sekadar mencari jawapan kepada usaha memahami proses dan jalan penyelesaian.
Berdasarkan keputusan PISA 2025, skor Sains Malaysia meningkat tiga mata kepada 419 mata berbanding 416 mata pada PISA 2022, manakala skor pembacaan meningkat lima mata kepada 393 mata daripada 388 mata.
Bagaimanapun, skor Matematik menurun 11 mata kepada 397 mata berbanding 408 mata pada PISA 2022, menjadikan domain berkenaan antara cabaran utama yang perlu diberi perhatian.