Sistem pintar lebuh raya tidak jejas pekerjaan – Nanta

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi / RTM

KUALA LUMPUR, 8 September – Penggunaan sistem pintar dalam pengurusan lebuh raya tidak akan menyebabkan pemberhentian pekerja, sebaliknya tenaga kerja sedia ada akan diperkasa menerusi peningkatan kemahiran dan penugasan semula mengikut keperluan operasi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Teknologi pintar dilaksanakan untuk meningkatkan kecekapan operasi dan membantu pekerja melaksanakan tugasan dengan lebih berkesan.
  • Kumpulan IJM memberi jaminan tiada pemberhentian pekerja susulan penggunaan sistem pintar.
  • Pekerja akan diberi peluang peningkatan kemahiran dan penugasan semula mengikut keperluan operasi.
  • Kerajaan menggalak penggunaan AI, IoT dan analitik data bagi keselamatan serta pengurusan trafik lebuh raya bersepadu.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pelaksanaan teknologi itu bertujuan meningkatkan kecekapan operasi serta membantu pekerja melaksanakan tugasan dengan lebih berkesan.

Beliau berkata jaminan berhubung perkara itu turut diberikan Kumpulan IJM yang tidak akan melakukan pemberhentian pekerja susulan penggunaan sistem pintar berkenaan.

“Itu adalah jaminan daripada IJM supaya apabila kita menggunakan sistem ini, tidak ada yang perlu dilucutkan daripada pekerjaan mereka dan tiada pemberhentian.

“Mereka tidak akan diberhentikan atau terpaksa melepaskan pekerjaan, kecuali atas sebab-sebab lain,” katanya selepas merasmikan Pusat Kawalan Trafik Lebuh Raya Pintar Kumpulan IJM di sini, hari ini.

Ujar beliau, pekerja yang terlibat akan diberi peluang menjalani peningkatan kemahiran bagi meningkatkan keupayaan mereka, selain penugasan semula untuk melaksanakan tugasan yang bersesuaian dengan keperluan semasa.

Menurut beliau, pendekatan itu selaras dengan usaha kerajaan memastikan transformasi digital dalam sektor lebuh raya turut mengambil kira aspek pembangunan modal insan.

Dalam pada itu, beliau berkata penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet benda (IoT) dan analitik data raya akan terus diperkasa bagi meningkatkan keselamatan serta kecekapan pengurusan trafik lebuh raya.

Katanya, kerajaan turut menggalakkan lebih banyak syarikat konsesi lebuh raya mengadaptasi teknologi pintar bagi memastikan pengurusan trafik negara dilaksanakan dengan lebih cekap, selamat dan bersepadu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.