
PUTRAJAYA, 7 September – Mahkamah Rayuan bakal menentukan persoalan perundangan dan Perlembangan berhubung bidang kuasa mahkamah dalam pertikaian membabitkan kedudukan serta kedaulatan bekas Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak (Thahak), bersama lima pembesar adat yang lain.
- Pertikaian sama ada Mahkamah Tinggi Sivil berkuasa campur tangan dalam keputusan Dewan Keadilan dan Undang atau bidang kuasa Mahkamah Khas.
- Keputusan Mahkamah Rayuan boleh menjejaskan keabsahan tindakan Mahkamah Tinggi dan memberi implikasi terhadap hak serta keistimewaan Raja-Raja Melayu.
- Mahkamah Tinggi keluarkan injunksi status quo, prosiding komital ditangguhkan; Mahkamah Rayuan set tujuan e-review dan dengar tafsiran Perkara 182 dan 183.
Persoalan utama ialah sama ada Mahkamah Tinggi Sivil mempunyai bidang kuasa untuk campur tangan dalam urusan pelucutan jawatan atau keputusan Dewan Keadilan dan Undang (DKU), atau perkara itu terletak di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Khas.
Peguam yang mewakili Datuk Mubarak dan lima pembesar adat, Awang Armadajaya Awang Mahmud berkata, penentuan itu penting kerana menyentuh keabsahan tindakan Mahkamah Tinggi sejak peringkat awal prosiding.
“Persoalannya, ketika permohonan injunksi itu dibuat, adakah Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk mendengarnya? Ini merupakan persoalan undang-undang dan isu Perlembagaan yang besar.
“Keputusan itu bakal memberi implikasi besar terhadap hak dan keistimewaan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, khususnya dalam konteks kedudukan Yang Teramat Mulia Datuk Undang dan Yang Teramat Mulia Tengku Besar Tampin,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, sekiranya Mahkamah Khas diputuskan mempunyai bidang kuasa mutlak, prosiding yang dimulakan di Mahkamah Tinggi boleh terjejas dari sudut keabsahannya.
Pertikaian itu bermula apabila Mahkamah Tinggi Seremban di hadapan Hakim Roz Mawar Rozain, mengeluarkan Perintah Injunksi Ad Interim pada 5 Jun 2026 bagi mengekalkan status quo sementara menunggu keputusan mengenai isu bidang kuasa dan kebolehbiraan kes.
Antara kandungan perintah itu ialah menghalang penyingkiran Setiausaha DKU, Raja Norazli, serta melarang pihak plaintif daripada mengadakan sebarang Sidang Khas atau membuat keputusan berkaitan pentadbiran DKU.
Susulan dakwaan pelanggaran perintah berkenaan oleh Datuk Mubarak dan pembesar adat lain, prosiding komital atau hina mahkamah dimulakan oleh Setiausaha DKU.
Mahkamah Tinggi kemudian memutuskan wujud kes prima facie terhadap mereka.
Bagaimanapun, pihak pembelaan berhujah bahawa keabsahan prosiding komital itu bergantung kepada persoalan sama ada Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa ketika mengeluarkan perintah injunksi asal.
Mahkamah Rayuan sebelum ini membenarkan permohonan Datuk Mubarak dan lima pembesar adat berkenaan untuk menangguhkan prosiding komital di Mahkamah Tinggi Seremban.
Penangguhan itu membolehkan Mahkamah Rayuan terlebih dahulu mendengar dan memutuskan rayuan utama berhubung tafsiran peruntukan Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 182 dan 183.
Mahkamah menetapkan 14 September bagi sesi e-review untuk menetapkan tarikh keputusan, manakala perintah penggantungan ad interim dilanjutkan sehingga keputusan rasmi dikeluarkan.