
GEORGE TOWN, 7 September – Tanah seluas enam ekar bersebelahan Gurney Bay dan Pulau Andaman di sini, kini dilelong secara terbuka dengan harga rizab RM313.632 juta.
- Hasil lelongan digunakan membiayai baki pembinaan Projek Jalan Pintasan Ayer Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.
- Projek capai 92.46% kemajuan fizikal setakat 31 Ogos, namun tahap kewangan hanya 81.69%.
- Sertai lelongan memerlukan wang pertaruhan draf bank satu peratus, RM3.136 juta; projek dilaksanakan melalui pertukaran tanah, keuntungan dikongsi.
Lelongan awam itu bertujuan membantu membiayai baki pembinaan Projek Jalan Pintasan Ayer Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, individu atau pihak yang berminat menyertai lelongan berkenaan perlu menyediakan wang pertaruhan dalam bentuk draf bank sebanyak RM3.136 juta, iaitu satu peratus daripada harga rizab tanah.
“Projek jalan pintasan itu berjalan lancar dan kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 92.46 peratus setakat 31 Ogos lalu.
“Bagaimanapun, tahap kewangan projek berkenaan baru mencapai 81.69 peratus.
“Projek itu dilaksanakan menerusi kaedah pertukaran tanah dan bukan pembayaran secara tunai. Sehubungan itu, kontraktor projek menuntut tanah bernilai RM695.977 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM225.8 juta merupakan baki nilai tanah yang masih belum diserahkan.
Keuntungan daripada hasil lelongan tanah itu akan dikongsi antara kontraktor dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.