
SAUDARA PENGARANG
- Gunakan AI sebagai alat sokongan selepas pelajar berfikir sendiri, bukan pemberi jawapan pertama.
- Sentiasa semak dan sahkan maklumat AI melalui sumber boleh dipercayai; jangan terima jawapan bulat-bulat.
- Pensyarah perlu membimbing pelajar menilai bukti, mempersoal jawapan AI dan mengekalkan kebolehan berfikir analitikal.
Pagi itu, sekumpulan pelajar menerima satu kes untuk dibincangkan di dalam kelas. Belum sempat perbincangan benar-benar bermula, seorang daripada mereka mencapai telefon pintar.
Beberapa baris soalan ditaip dan dalam beberapa saat, kecerdasan buatan (AI) memberikan jawapan yang tersusun serta kelihatan meyakinkan.
Mudah, pantas dan mengagumkan. Jika dahulu pelajar perlu membuka buku, berbincang dengan rakan atau mencari bahan rujukan, kini banyak maklumat boleh diperoleh hampir serta-merta.
Namun, di sebalik kemudahan itu timbul satu persoalan penting: jika jawapan hadir sebelum pelajar sempat berfikir, apakah yang sebenarnya sedang dipelajari?
AI sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan pelajar. Ada yang menggunakannya untuk memahami konsep sukar, menyusun nota, menghasilkan soalan latihan atau mendapatkan penerangan dalam bahasa yang lebih mudah.
Digunakan dengan baik, teknologi ini boleh membantu pembelajaran. Namun, apabila terlalu bergantung kepadanya, garis antara “dibantu untuk belajar” dengan “diberikan jawapan” menjadi semakin kabur.
Persoalan ini lebih ketara dalam Pembelajaran Berasaskan Masalah atau PBL. Dalam pendekatan ini, pelajar tidak terus diberikan jawapan.
Mereka diberikan suatu masalah, kemudian diminta mengingat kembali apa yang sudah diketahui, berbincang, mengenal pasti perkara yang belum difahami dan menentukan sendiri apa yang perlu dipelajari.
Dalam pendidikan perubatan misalnya, sekumpulan pelajar mungkin diberikan kes seorang pesakit yang mengalami demam.
Mereka bukan terus diminta mencari diagnosis melalui AI. Sebaliknya, mereka perlu berbincang tentang kemungkinan punca, maklumat tambahan yang diperlukan dan perkara yang masih belum mereka fahami.
Proses inilah yang sebenarnya mendidik. Kadangkala jawapan pertama salah. Ada pandangan yang bercanggah. Ada juga soalan yang tidak dapat dijawab serta-merta.
Namun, melalui perbincangan tersebut, pelajar belajar mendengar, mempertahankan alasan, mengubah pandangan apabila mendapat bukti baharu dan menyedari batas pengetahuan sendiri.
Kaedah Maastricht Tujuh Langkah yang sering digunakan dalam PBL memberikan struktur kepada perjalanan ini.
Pelajar bergerak daripada memahami masalah, mengeluarkan pengetahuan sedia ada dan mengenal pasti jurang ilmu kepada pembelajaran kendiri sebelum kembali berkongsi hasil pencarian bersama kumpulan.
Di sinilah AI sebenarnya boleh memainkan peranan yang sangat berguna. Selepas pelajar mencuba berfikir sendiri, AI boleh membantu menerangkan konsep yang masih kabur atau mengemukakan sudut pandang yang belum dipertimbangkan.
Ia juga boleh digunakan untuk menghasilkan soalan latihan atau menguji kefahaman.
Bayangkan selepas berbincang, kumpulan itu bertanya kepada AI, “Adakah terdapat kemungkinan lain yang kami terlepas?” Soalan seperti ini menjadikan AI sebagai rakan semak, bukan pemberi jawapan pertama. Pelajar masih memegang stereng pembelajaran mereka.
Namun, satu kebiasaan perlu dibentuk: jawapan AI tidak boleh diterima bulat-bulat. Teknologi ini boleh menghasilkan maklumat yang tidak tepat, tidak lengkap atau kelihatan meyakinkan walaupun sebenarnya salah.
Pelajar perlu menyemak fakta melalui buku, artikel, garis panduan atau sumber yang boleh dipercayai.
Perubahan ini juga selari dengan hala tuju pendidikan tinggi negara. Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 memberi perhatian kepada pembinaan nilai pelajar dan integrasi AI dalam kurikulum supaya graduan kekal relevan menghadapi perubahan masa hadapan.
Pada masa sama, penggunaan teknologi digital dan AI turut dikaitkan dengan keperluan menjaga etika serta melindungi keupayaan pelajar untuk berfikir secara analitikal.
Ini penting kerana celik AI bukan bermaksud seseorang tahu menggunakan aplikasi semata-mata. Celik AI juga bermaksud tahu bila teknologi itu berguna, bila jawapannya perlu dipersoalkan dan bila kita perlu berhenti mencari jalan mudah lalu berfikir sendiri.
Peranan pensyarah juga tidak semakin kecil kerana kewujudan AI. Sebaliknya, peranan itu menjadi lebih penting. Pensyarah kini perlu membimbing pelajar bukan sahaja mencari jawapan yang betul, tetapi memahami bagaimana jawapan itu diperoleh.
Mereka boleh bertanya, “Mengapa anda percaya jawapan ini?”, “Apakah bukti yang menyokongnya?” atau “Sudahkah maklumat daripada AI ini disemak?”
Mungkin inilah perubahan terbesar dalam bilik kuliah masa kini. Guru tidak lagi menjadi satu-satunya tempat pelajar mendapatkan maklumat kerana maklumat sudah berada di hujung jari.
Namun, guru tetap diperlukan untuk membantu pelajar membezakan antara maklumat dengan pengetahuan, antara jawapan dengan pemahaman, dan antara kepantasan dengan kebijaksanaan.
Kita tidak perlu memilih sama ada mahu menerima AI sepenuhnya atau menolaknya. Yang lebih penting ialah membina kebiasaan yang sihat iaitu:
- Fikir dahulu sebelum bertanya AI.
- Gunakan AI untuk membantu, bukan mengambil alih.
- Semak maklumat sebelum mempercayainya.
- Jadikan guru sebagai pembimbing dalam penggunaan teknologi secara bertanggungjawab.
Akhirnya, pendidikan bukan perlumbaan mendapatkan jawapan paling cepat. Pendidikan ialah proses belajar untuk bertanya, menilai, mempertimbangkan dan membuat keputusan.
AI mungkin mampu menghasilkan jawapan dalam beberapa saat, tetapi kebijaksanaan untuk menentukan sama ada jawapan itu tepat, sesuai dan beretika masih perlu dibina oleh manusia.
Dalam usaha menyediakan generasi masa hadapan, matlamat kita bukan sekadar melahirkan pelajar yang mahir menggunakan AI. Kita mahu melahirkan pelajar yang tahu bila perlu menggunakannya, berani mempersoalkan jawapannya dan tetap yakin menggunakan pemikiran sendiri.
Teknologi boleh menjadi pembantu yang luar biasa. Namun, ruang untuk berfikir jangan sampai kita serahkan kepadanya.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr Liyana Nadhirah Mustaffa
Pensyarah Perubatan
Jabatan Pendidikan Perubatan
Fakulti Perubatan
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)