Krisis tenaga: Pembangkang Bangladesh desak tindakan segera

Foto AFP

DHAKA, 6 September – Ribuan penyokong pembangkang Bangladesh menyertai protes besar-besaran pada Sabtu bagi mendesak kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tarique Rahman bagi segera menangani krisis kekurangan gas memasak, elektrik dan baja yang semakin meruncing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyokong pembangkang bergerak dari dataran awam di Dhaka menuju Chittagong, membawa sepanduk dan melaungkan slogan.
  • Tuntutan utama menuntut bekalan gas memasak mencukupi dan elektrik disalurkan ke setiap isi rumah.
  • Krisis bekalan dikaitkan sebahagiannya dengan konflik Asia Barat, sambil penahanan pelajar mencetuskan kritikan terhadap intoleransi kerajaan.

Protes itu menjadi bantahan jalanan besar pertama terhadap kerajaan yang baru enam bulan mengambil alih pentadbiran kerajaan.

Para penyokong pembangkang berkumpul di sebuah dataran awam di Dhaka sebelum memulakan perjalanan menuju bandar pelabuhan Chittagong, sambil membawa sepanduk dan melaungkan slogan.

Beberapa perhimpunan turut dijadualkan di sepanjang laluan.

Pemimpin pembangkang Shafiqur Rahman berkata gerakan berkenaan bertujuan memastikan bekalan gas memasak mencukupi dan bekalan elektrik dapat disalurkan ke setiap isi rumah.

“Gerakan ini bertujuan memastikan bekalan gas memasak dan menerangi setiap rumah dengan elektrik,” katanya ketika berucap kepada penyokong.

Bangladesh kini berdepan kekurangan bekalan yang serius, sebahagiannya akibat konflik di Asia Barat, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keupayaan kerajaan menangani krisis berkenaan.

Ketegangan turut meningkat selepas seorang pelajar kolej ditahan sehari sebelum protes kerana didakwa menghina pegawai kanan kerajaan ketika meluahkan rasa tidak puas hati berhubung bil elektrik yang tinggi.

Tindakan itu dikritik pihak pembangkang yang menyifatkannya sebagai petanda kerajaan semakin tidak bertoleransi terhadap kritikan.

“Kamu gagal membekalkan gas, elektrik dan baja, malah tidak membenarkan rakyat bersuara,” kata Akhter Hossen daripada National Citizen Party ketika berucap kepada peserta perhimpunan.

“Kamu akan berdepan akibat yang serius,” katanya. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.